ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: @PDRMsia AKAN AMBIL TINDAKAN TERHADAP ERIC PAULSEN - KPN @KBAB51

Monday 12 January 2015

@PDRMsia AKAN AMBIL TINDAKAN TERHADAP ERIC PAULSEN - KPN @KBAB51


Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap peguam Eric Paulsen yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan menyiasat Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu mengikut Akta Hasutan 1948.

“Kenyataan sebegini memang wajar kita siasat di bawah Akta Hasutan,” katanya di sini, Sabtu.

Kelmarin, Eric mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi laman sosial Twitternya dengan menuduh JAKIM menyebarkan fahaman itu pada setiap Jumaat yang dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Eric menerusi catatannya berkata: “JAKIM sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.

Selain itu, Khalid turut menegaskan untuk mengambil tindakan sama ke atas pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab, lapor Utusan Online.

“Hati-hatilah dalam memperkatakan sesuatu. Jangan berkata-kata yang mengundang PDRM mengambil tindakan.

“Berani cakap beranilah tanggung,” tegas beliau.

Sementara itu, Eric ketika dihubungi Mingguan Malaysia enggan mengulas mengenai maksud ‘ekstremis’ yang didakwanya itu.

Malah beliau juga tidak mahu mengesahkan akaun Twitter tersebut adalah miliknya.

“Saya akan adakan sidang akhbar sama ada esok atau pun lusa,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid memberitahu, undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 masih diperlukan kerana dapat membantu PDRM menyelesaikan masalah kumpulan ekstremis.

Sambil merujuk kepada insiden serangan pejabat akhbar mingguan Charlie Hebdo di Paris baru-baru ini, beliau menegaskan akta ber­kenaan wajar dikekalkan.

“Ambillah iktibar kejadian di Paris. Itulah sebab kita memerlukan Akta Hasutan dan PDRM tidak akan membiarkan penghasut agama,” ujarnya.

Pada 7 Januari lalu, seramai 12 orang terkorban selepas tiga lelaki yang dilengkapi senapang jenis Kalashnikovs dan pelancar peluru berpandu menyerang pejabat akhbar mingguan Charlie Hebdo.

Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berku­asa akan menyiasat individu bertanggungjawab memuat naik status di laman sosial Twitter mendakwa JAKIM mempromosikan ekstre­misme menerusi khutbah Jumaat.

Katanya, PDRM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu ber­kenaan.

“Kita akan buka kertas sia­satan dan melakukan pendakwaan. Individu berkenaan harus faham bahawa JAKIM menyediakan teks khutbah untuk solat Jumaat setiap minggu, jangan bersikap jahil de­ngan mendakwa JAKIM sebagai punca keganasan.

“Itu merupakan satu tuduhan liar dan jahil. Individu tersebut perlu memahami kerana teks itu merupakan khutbah Jumaat,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Selabak, di Teluk Intan, Sabtu.
FMT

No comments:

Post a Comment