ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PIPI BUDAK 8 TAHUN TERTUSUK MATA KAIL

Saturday, 31 January 2015

PIPI BUDAK 8 TAHUN TERTUSUK MATA KAIL


RANTAU PANJANG – Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, terpaksa menahan derita lebih dua jam apabila mata kail ikan tertusuk ke pipinya, jam 11 pagi semalam.

Walaupun kail tertusuk ke pipi selama dua jam, bapa, Azizol Che Aziz, 34, berkata, anak sulungnya dari tiga beradik itu, Muhammad Hafiz Afnan, 8, tidak menitiskan air mata sepanjang operasi mengeluarkan mata kail berkenaan.

Menurutnya, jika perkara sama berlaku pada kanak-kanak seusianya malah melihat mesin pemotong dan berhadapan dengan doktor di hospital, mereka pastinya menangis dan merengek.

“Saya berbangga dengan keberaniannya, tetapi dalam masa yang sama gerun memikirkan keselamatan anak ketika operasi mengeluarkan mata kail tersebut.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini daripada rakannya yang pulang bersama selepas mendapati dua mata kail sepanjang dua inci tertusuk ke pipi kanannya,” katanya.
 
Azizol yang bekerja sebagai penyembelih lembu berkata, difahamkan rakan anaknya menggunakan dua mata kail berukuran dua inci dan menggunakan umpan katak plastik sebelum melontarnya ke Sungai Tasik Kati.
 
Lontaran itu katanya, terkena pada pipi kanan Muhammad Hafiz ketika dia berada di belakang rakannya.

Menurutnya, memandangkan pasukan bomba mempunyai kelengkapan lebih canggih, pihak doktor di Hospital Pasir Mas menyerahkan tugas menyelamat kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas.
 
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II (PBK) Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan kail berkenaan dari pipi Muhammad Hafiz.
 
“Kami memotong kail itu menggunakan mesin pemotong hidraulik kemudian menariknya dengan ‘playar’ tahan karat.

“Disebabkan kail berkenaan melekat pada daging pipi, pihak hospital menggunakan bius bagi mengurangkan kesakitan dan jangkitan kuman,” katanya.

Sinar Online

No comments:

Post a Comment