ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 52 KONTENA BEKALAN MAKANAN, KEPERLUAN ASAS DIAGIH DI KELANTAN

Thursday 1 January 2015

52 KONTENA BEKALAN MAKANAN, KEPERLUAN ASAS DIAGIH DI KELANTAN




KOTA BHARU: Biro Kebajikan UMNO sudah mengagihkan 52 kontena berisi barangan makanan dan keperluan asas kepada penduduk terjejas banjir di Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ia melibatkan semua 14 kawasan Parlimen di negeri ini.

"Sekarang dari segi bekalan makanan tak ada masalah, tak ada yang kebulur," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat dua anggota polis yang cedera selepas sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas di Kampung Rambai Gobek, Tanah Merah semalam ketika melakukan misi.

Abdul Azeez berkata pihaknya juga akan membantu penduduk yang terjejas banjir dalam mengharungi fasa pasca banjir ini termasuk membersihkan kediaman penduduk.

Katanya lagi, semua pemimpin perlu bersatu dalam memastikan kebajikan rakyat di Kelantan terjamin.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya kini sedang mengumpul sukarelawan dalam kalangan atlet untuk melakukan kerja pembersihan di kediaman dan pusat-pusat latihan sukan terjejas.

Ia akan dimulakan di Kelantan dan Terengganu sebelum diteruskan ke Pahang dan Johor, katanya selepas menghadiri program Atlet Prihatin: Sumbangan Mangsa Banjir di MSN hari ini.

Inisiatif berkenaan setakat ini mengumpulkan sumbangan bernilai RM150,000 merangkumi wang tunai, makanan, pakaian, keperluan persekolahan dan barangan keperluan harian lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment