ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: WANITA DISAMUN KETIKA ASYIK BERSEMBANG DI RUMAH

Sunday, 2 November 2014

WANITA DISAMUN KETIKA ASYIK BERSEMBANG DI RUMAH



Piah (kanan) menunjukkan kesan luka pada leher Rohani akibat tujahan pisau penyamun, kelmarin.
Piah (kanan) menunjukkan kesan luka pada leher Rohani akibat tujahan pisau penyamun, kelmarin.
BACHOK - Seorang wanita yang asyik bersembang dengan ahli keluarganya kira-kira jam 1.30 petang kelmarin, kerugian hampir RM6,000 apabila rantai lehernya disamun lelaki bersenjatakan pisau Rambo dekat sini.

Rohani Jusoh, 34, berkata, ketika itu suaminya Abdullah Arif, 47, keluar menunaikan solat Jumaat dan hanya dia bersama ibu, Piah Omar, 72, anaknya, Nur Zahra Sofia,3, dan sepupu, Rahimah Mat Hassan,62, berada di rumah itu.

Menurutnya, ketika kejadian mereka sedang asyik bersembang sebelum didatangi sebuah kereta Honda berwarna biru yang berhenti di pekarangan rumahnya.

“Seorang lelaki keluar dari kereta terus melompat menerkam saya dan mengacukan pisau di leher saya. Dia minta saya serahkan rantai leher. Saya panik dan kata ambillah sebelum dia merentap rantai itu.

“Dalam keadaan panik itu ibu dan sepupu turun dari serambi meminta pertolongan dari jiran. Tetapi ketika itu semua lelaki tiada di rumah kerana menunaikan solat Jumaat.

“Melihat ibu menjerit meminta tolong, seorang lagi rakannya keluar membawa parang. Dalam masa tak sampat lima minit tragedi itu berlaku dan mereka terus pergi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, selepas suspek berlalu, barulah jiran-jirannya yang datang menjengah dan membawanya ke balai polis untuk membuat laporan.

Rohani berkata, sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan lehernya luka sedikit akibat terkena hujung pisau suspek.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut itu dia tidak dapat mengecam suspek dan hanya melihat lelaki itu bertubuh sederhana, memakai topi, berbaju hitam dan seluar jeans.

Menurutnya, selain dua lelaki yang keluar bersenjata itu, ada jiran melihat dua orang lagi di dalam kereta itu termasuk seorang wanita dan anak kecil.

Difahamkan, itu adalah kes pertama berlaku di sekitar kawasan terbabit dan sebelum ini hanya melibatkan kawasan berdekatan pantai.

Manakala, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan. Kerugian dianggarkan bernilai RM6,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

No comments:

Post a Comment