ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAU 2014 : SEKITAR PERHIMPUNAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA & PUTERI UMNO

Wednesday, 26 November 2014

PAU 2014 : SEKITAR PERHIMPUNAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA & PUTERI UMNO

MELAYU PERLU HORMATI HAK-HAK BUKAN MELAYU

KUALA LUMPUR: Orang Melayu dan Bumiputera mempunyai  tanggungjawab untuk hidup dengan harmoni bersama bangsa-bangsa lain dan kita juga mesti menghormati hak-hak bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah amanat Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang berkata Wanita UMNO tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang mahu mengugat atau mempertikaikan Agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan Raja-Raja, hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Maka saya mohon supaya janganlah sesiapa mempersoalkan kerakyatan dan kewarganegaraan bangsa seperti kaum Cina dan India yang lahir di sini.

“Jika kita tak mahu mereka mempersoalkan keistimewaan kita sebagai orang asal tanah ini, kita juga mesti menghormati mereka sebagai rakyat yang mempunyai hak di negara ini,” katanya semasa ucapan dasarnya di persidangan Pergerakan Wanita di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Shahrizat berkata terdapat beberapa anasir-anasir yang mempunyai agenda politik, yang mencabul integriti Perlembagaan Persekutuan, dan cuba membawa kepada keresahan semua kaum.

“Mungkin mereka rasakan bahawa kerana kita di dalam UMNO berjuang dengan beradab, tidak mengacu mereka dengan fitnah, tohmahan, mungkin mereka rasakan kita boleh dirogol secara politik tanpa kita menyerang balas, mungkin sebab itu mereka dengan sewenang-wenangnya telah membawa negara Malaysia yang satu ketika dahulu bersatu padu tetapi pada hari ini berada di ambang bahaya dari segi perpaduan.

“Latar belakang sejarah menunjukkan bahawa kompromi antara semua etnik di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India serta peribumi Sabah dan Sarawak tentang hak-hak bersama kaum-kaum tersebut dan hak-hak istimewa serta hasil rundingan dan persetujuan dengan Raja-Raja Melayu dan pihak Inggeris bagi mencipta suatu sistem negara yang mengamalkan ciri-ciri demokrasi, bebas, adil dan makmur telah melahirkan Perlembagaan Persekutuan yang pada hakikatnya merupakan suatu kontrak sosial untuk semua masyarakat di Malaysia,” katanya.

PEMUDA SEPERTI 'EASY PUNCHING BAG'

Pemuda Umno merupakan benteng paling hadapan dalam usaha meremajakan parti dan menarik golongan muda menyertai Umno.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang muda tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman sebaliknya merupakan harapan kepada parti.

Bagaimanapun, katanya lagi, Pemuda Umno kesal apabila keikhlasan dan khidmat mereka kepada parti diragui termasuk dalam kalangan ahli Umno sendiri.

"Pemuda Umno ini bak kata orang putih, ‘an easy punching bag’. Kalau ada apa-apa yang tak kena dalam parti, ada yang tersalah, terkhilaf bila buat kerja, mesti kita kena dulu.

"Bila tak dipilih jadi calon pilihan raya, kita dituduh akan sabotaj parti, padahal kita ini juga yang bersengkang mata, bergaul bahaya berdepan dengan lawan di malam buta. Ini bukan cerita lama, ini cerita selalu dan baru," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Khairy turut menepis dakwaan bahawa sayap itu tetapi tidak lagi bertaring seperti dahulu.

"Saya nak bagi tahu, Pemuda tidak lupa asal usul. Bila tiba masa untuk lawan kita lawan!

"Saya tak pernah ragu walau sekelumit bahawa jiwa Pemuda kental, semangat kita menyala-nyala tak kira masa, kudrat kita melangit demi parti tercinta. Sayang bila tiba masa, kita tercorot di belakang tak diberi perhatian... ralat sungguh rasa di hati," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik tohmahan yang dilemparkan, beliau berkata, Pemuda Umno akan terus melaksanakan tugas memperjuangkan parti.

"Pemuda tak pernah membenarkan ia melarat jadi dendam dan amarah yang boleh memusnahkan parti. Kita pegang pesanan Saidina Ali Abu Talib iaitu sifat pemarah itu musuh utama akal.

"Tapi ingatlah kawan, proses peremajaan parti tak boleh dilihat dari aspek retorik semata- mata. Itu sebenarnya pantang perjuangan. Peremajaan semula parti harus ditonggak setinggi mungkin di pentas realiti agar semua boleh lihat dan faham kita benar-benar mahu meremajakan semula Umno," katanya.

PAU 2014: Puteri Wujud Barisan 'Semut Api' Tepis Dakyah Media Sosial

KUALA LUMPUR: Melihat betapa seriusnya isu dan pengaruh negatif di media sosial di kalangan belia khususnya wanita muda, Pergerakan Puteri Umno berazam untuk bekerja keras dengan mengambil semangat 'semut api' bagi membantu menangani masalah ini.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Puteri mahu mencontohi sikap dan semangat semut api yang mengajar manusia budaya mementingkan peradaban hidup dan sikap positif.

"Pasukan Puteri Umno kita gelar Barisan Semut Api. Dalam diam kita atur strategi, kita tepis segala propaganda, penipuan, fitnah dalam media sosial.

"Semut api, walaupun kecil tetapi 'gigitannya' sakit, selain berkerja secara berkumpulan, rajin dan tidak berputus asa dan inilah perangai serta cara kerja yang saya mahu kita terapkan dalam Barisan Semut Api ini.

"Tanggungjawab Puteri untuk pastikan generasi muda kita bersih pemikirannya...Kita dekati orang muda," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Mas Ermieyati berkata demikian setelah melihat senario di mana media sosial kini menjadi 'makanan' generasi muda namun ia boleh menjadi berbahaya dengan tersebarnya dakyah tertentu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, media sosial menjadi bahaya apabila ada pihak yang menyebarkan pelbagai propaganda dan fitnah selain menghasut.

"Dakyah yang tersebar itu adakalanya cukup meyakinkan terutama apabila disertakan gambar, statistik dan bukti yang dimanipulasi supaya kelihatan sahih," katanya.

Mas Ermieyati yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, beliau yakin Barisan Semut Api Puteri mampu membantu mengelak generasi muda terpengaruh dengan dakyah dan penyebaran doktrin liberalisme.

"Kita boleh lakukan kerana kerana kita ada ramai pakar teknologi maklumat (IT), pakar undang-undang dan golongan profesional lain yang mahir dalam pelbagai bidang untuk sanggah semua itu," katanya.

No comments:

Post a Comment