ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DUA MATI LEMAS DALAM KEJADIAN BERASINGAN DI KELANTAN

Sunday 23 November 2014

DUA MATI LEMAS DALAM KEJADIAN BERASINGAN DI KELANTAN

Lelaki lemas tergelincir ke dalam sungai


PASIR PUTEH: Seorang lelaki lemas selepas tergelincir jatuh ke dalam sungai di Jeram Pasu, berhampiran Mardi Padang Pak Amat, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa berusia 28 tahun itu ditemui tersepit pada celah batu di sungai berkenaan selepas pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pasir Puteh, melakukan gerakan mencari dan menyelamat sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Jurucakap polis berkata, mangsa dikatakan datang ke sungai berkenaan untuk mandi bersama empat lagi rakannya pada jam 2.30 petang namun ketika mereka hendak pulang dua jam kemudian, dia dilaporkan tergelincir sebelum jatuh ke dalam sungai.

"Dia kemudian dihanyutkan arus deras sebelum tersepit di celah batu dan ditemui semasa gerakan menyelamat dijalankan," katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, untuk bedah siasat.


Kakak hampir lemas cuba selamatkan adik

MACHANG: "Saya terjun dalam takungan air bila tengok adik terjatuh, tapi tak dapat menyelamatkannya kerana (paras) airnya sangat dalam," kata Siti Nabila Zulkarnain, 10.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang semalam, arwah adiknya, Zaty Syaza Wardina, 6, mati lemas apabila terjatuh ketika bermain di tepi takungan air di sebuah taman perumahan, di Pulai Chondong, dekat sini.

Siti Nabila berkata, dia sendiri hampir lemas ketika masuk ke takungan air itu tetapi mujur dapat diselamatkan oleh rakan-rakannya.

Menurutnya, mereka kemudian meminta bantuan daripada penduduk kampung berdekatan, namun sudah terlambat apabila adiknya yang berjaya dinaikkan dari dalam takungan itu oleh penduduk berkenaan, didapati sudah tidak bernyawa.

"Penduduk kemudian menghantar adik ke Klinik Kesihatan Pulai Chondong, di sini, namun diberitahu meninggal dunia sebab lemas," katanya.

Bapa mangsa, Zulkarnain Ahmad, 41, tidak menyangka permintaan arwah anaknya itu untuk keluar bermain akan berakhir dengan tragedi.

Katanya, arwah anaknya itu beberapa kali meminta untuk keluar bermain sejak jam 2.30 petang lagi, namun tidak benarkan.

Arwah anak dan rakannya selalu bermain di kawasan itu dan air bertakung sejak seminggu lalu akibat hujan lebat. Kawasan itu dalam proses untuk diratakan bagi tujuan pembinaan rumah," katanya.

Sementara itu, polis mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment