PUTRAJAYA: Peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh tidak menolak kemungkinan bahawa prosiding rayuan liwat Ketua Pembangkang itu yang memasuki hari ketujuh hari ini akan berlarutan hingga pagi esok.
Beliau yang ditemui pemberita ketika mahkamah berehat sebentar tadi berharap dapat menghabiskan hujahan mengenai keterangan saintifik dan DNA sebelum tengah hari ini.
"Saya berharap akan habiskan hujahan sebelum tengah hari dan selepas itu disambung pula dengan tiga lagi penghujah.
"Saya harap kita akan habis berhujah hari ini atau mungkin selewat-lewatnya pagi esok," katanya ketika ditemui di luar Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini, sebentar tadi. -Bernama
Berikut adalah perkembangan terkini dari Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya:
12.00 tengah hari: Ramkarpal berhujah tentang ketidakpastian berlaku penembusan pada dubur Saiful kerana tiada kesan fizikal ditunjukkan.
Peguam itu juga bercakap tentang kemungkinan sampel air mani yang telah diusik dan boleh diragui kelayakannya menjadi bahan bukti.
Selain itu, tempoh 56 jam sperma itu berada dalam dubur Saiful turut dibangkitkan dan ia, menurut Ramkarpal, boleh menjejaskan hasil uji kaji kerana kemerosotan sifat.
11.55 pagi: Panel hakim tiba di kamar mahkamah dan prosiding disambung semula.
Ramkarpal meneruskan hujah dengan menegaskan bahawa adalah menjadi beban pihak pendakwa untuk membuktikan Anwar bersalah.
11.50 pagi: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dilihat memasuki kamar mahkamah dan duduk di galeri awam.
11.45 pagi: Sesi prosiding masih belum disambung semula. Anwar ambil peluang untuk bersama ahli keluarga, selain berbincang dengan para peguamnya.
11.15 pagi: Prosiding berehat sebentar. Ditangguh ke pukul 11.30 pagi.
11.00 pagi: Ramkarpal menekankan, faktor degradasi memain peranan penting dalam melayakkan sesuatu bukti.
10.45 pagi: Isu degradasi dan sampel unggul khususnya merujuk pada bahan bukti sperma dihujahkan semula oleh Ramkarpal. Menurutnya, testimoni pakar kimia Dr Seah yang memproses bahan bukti DNA daripada dubur Saiful boleh dipertikai.
10.30 pagi: Ramkarpal menafikan dakwaan pihak pendakwa yang menyatakan kemungkinan jejak DNA lelaki misteri selain Lelaki-Y adalah daripada Dr Osman yang memeriksa Saiful.
10.20 pagi: Ramkarpal memetik testimoni pakar kimia Dr. Seah Lay Hong dengan menyatakan bahawa proses uji kaji spesimen bahan bukti boleh diragui. Antara lain yang dibahaskan adalah bahan bukti sperma dan tiga barang yang diambil dari lokap tahanan.
10.00 pagi: Ramkarpal dan hakim Tun Arifin Zakaria berbalas-balas soalan dan jawapan tentang perincian teknikal dan saintifik yang ditekankan pihak pembelaan.
9.45 pagi: Hakim memberi indikasi meneruskan prosiding. Peguam pembela Ramkarpal berhujah tentang bahan bukti yang tercemar dan pengendalian proses uji kaji sampel yang diragui ketepatan hasilnya.
9.32 pagi: Sebelum sesi hujah balas pembelaan bermula, Shafee terlebih dahulu bangun dan mendedahkan tentang laporan beberapa portal berita yang memberi laporan yang tidak adil.
Melalui laporan portal berita itu, Anwar memberi kenyataan yang menyerang kredibiliti mahkamah, mempersenda peguam pendakwaan dan meragui keupayaan hakim membuat pertimbangan.
Shafee meminta mahkamah agar Anwar menjelaskan kenyataan tersebut, namun Datuk Sri Gopal Sri Ram menyatakan bahawa perkara itu tidak perlu dan menyifatkannya sebagai cubaan mengalih fokus prosiding.
9.30 pagi: Panel lima hakim masuk ke kamar mahkamah. Prosiding dimulakan.
8.50 pagi: Anwar masuk ke kamar mahkamah bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah serta kenalan terdekat. Anwar menyapa ceria kepada kumpulan wartawan sebelum berbincang sesuatu dengan Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.
Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.
Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment