ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KES LIWAT II : PROSIDING PENUH HARI KETUJUH, SIDANG DITANGGUH JAM 3 PETANG JUMAAT !!!

Thursday, 6 November 2014

KES LIWAT II : PROSIDING PENUH HARI KETUJUH, SIDANG DITANGGUH JAM 3 PETANG JUMAAT !!!


PUTRAJAYA: Prosiding rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bakal tiba ke penghujungnya dengan hujah balas oleh barisan pembelaan.

Selasa lalu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari pihak pendakwaan selesai membentangkan kesemua hujahnya.

Beliau banyak menyentuh aspek fakta kes, perincian hal DNA dan bahan bukti serta menjawab isu penahanan Anwar.

Sesi prosiding rayuan yang pada mulanya dijadualkan berlangsung selama dua hari itu kini sudah masuk ke hari ketujuh apabila kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan memerlukan tempoh tambahan bagi membuat penghuraian hujah.

Selepas selesai sesi pembentangan hujah pembelaan yang dijangka mengambil masa hingga ke sebelah petang, tanda tanya seterusnya adalah tentang pertimbangan waktu dan tarikh bagi panel lima hakim membuat keputusan.


Berikut adalah perkembangan terkini dari Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya:

7.00 malam: Sidang ditangguh ke jam 3 petang esok. Gopal akan menghabiskan lagi sedikit hujahannya.

6.50 petang: Gopal berkata, adalah tanggungjawabnya untuk mempertahankan kredibiliti Dr Osman yang diserang pihak pendakwa. Ini kerana Dr Osman tidak ada di mahkamah untuk membela dirinya.

6.20 petang: Gopal menekankan hujah dengan memetik beberapa kes lain, bahawa beban pertuduhan itu terletak pada pihak pendakwaan untuk membuktikannya.

Gopal memberitahu bahawa Anwar telahpun mempunyai pembelaan alibi dan juga menafikan dirinya terlibat dalam perlakuan liwat.

6.00 petang: Prosiding disambung semula dan Gopal meneruskan hujah.

5.30 petang: Prosiding direhatkan sebentar dan dijangka akan disambung sehingga lewat petang.

Gopal belum menghabiskan hujahnya yang banyak menyerang kredibiliti Saiful. Shafee dijangka akan membuat hujah balas dan Gopal meminta peluang untuk membuat penghujahan selepas Shafee.

Hadirin di kamar mahkamah mula mencongak sesama sendiri tentang prosiding ini yang bakal berlanjutan ke waktu Maghrib.

4.50 petang: Gopal menggelar Saiful sebagai 'budak yang penuh muslihat' dan 'bukan lelaki biasa'. Gopal malah menggemparkan mahkamah dengan mengatakan bahawa Saiful menggunakan skil memikat agar pihak pendakwa mempercayai ceritanya.

4.45 petang: Gopal memberitahu mahkamah dengan memetik testimoni rakan Saiful di universiti. Dalam testimoni itu. Saiful sebenarnya bukanlah pemuja Anwar, sebaliknya pernah menggelarkan Anwar sebagai 'pemimpin munafik'.

Menurut Gopal, rakan Saiful itu terkejut apabila mendapat tahu dia bekerja dengan Anwar kemudiannya.

4.05 petang: Gobind mengakhiri hujahnya dan disambung oleh Gopal Sri Ram.

3.45 petang: Gobind mendesak mahkamah supaya menolak bahan bukti yang diambil dari lokap seterusnya mengatakan bahawa pihak pendakwa tidak dapat membuktikan DNA Lelaki-Y ialah Anwar, lebih-lebih lagi dengan kewujudan DNA orang ketiga.

3.25 petang: Gobind menangkis hujah yang mengatakan kaitan itu perlu diterima kerana Anwar satu-satunya yang menghuni lokap tersebut, namun dia menimbulkan keraguan dengan menyebut tentang pihak yang mempunyai akses terus ke sel tahanan itu.

3.20 petang: Peguam Gobind Singh Deo menyambung hujah pihak pembelaan dengan menyentuh soal kaitan Lelaki-Y dengan Anwar.

2.40 petang: Sangeet menimbulkan keraguan tentang penggunaan berus gigi, tuala dan botol air yang digunakan dalam lokap tahanan sebagai bahan bukti.

2.30 petang: Prosiding disambung dengan peguam Sangeet Deo Kaur memulakan hujahnya.

Sangeet memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa tidak membuktikan DNA yang ditemui pada Saiful adalah milik Anwar sebaliknya hanya dinamakan Lelaki-Y.

Jika betulpun DNA itu milik Anwar, ada banyak faktor lain yang perlu diambil kira.

KLIP SINI UNTUK BACA PROSIDING SEBELUMNYA


Astro Awani

No comments:

Post a Comment