ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DATUK VIDA KECEWA JERSI BELUM SIAP. MINTA MAAF KEPADA PENYOKONG TRW

Tuesday 16 February 2016

DATUK VIDA KECEWA JERSI BELUM SIAP. MINTA MAAF KEPADA PENYOKONG TRW


Penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman melahirkan kekecewaan kerana gagal menyediakan jersi kepada penyokong meskipun saingan Liga Super akan memasuki perlawanan kedua pada Selasa.

Malah, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida turut meminta maaf kepada penyokong pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) kerana tidak dapat merealisasikan hasrat mereka yang ingin menyarung jersi baharu PQPTRW menjelang perlawanan di gelanggang sendiri, malam Selasa.

Menurut Vida, beliau bukan sengaja mahu melambat-lambatkan penjualan jersi itu tetapi proses pencetakan jersi yang direka untuk kurus dan putihkan pemakai tersebut mengambil sedikit masa kerana mahukan kualiti yang terbaik.

“Saya bukan ambil sebarangan kain untuk dijadikan baju. Saya cukup teliti dalam pemilihan tekstur fabrik.

“Jadi penyokong semua perlu bersabar. Sekarang kilang baharu sahaja selesai proses menghasilkan benang khas untuk jersi tersebut,” katanya kepada mStar Online.

Usahawan kosmetik terkemuka itu tidak menafikan memang satu kerugian besar kerana jersi tersebut tidak dapat dijual sebelum aksi sepak mula Sabtu lalu.

“Memang satu kerugian besar di saat penyokong mahu membeli jersi tersebut tetapi ia masih belum dijual. Namun, jersi akan berada di pasaran mulai minggu depan,” katanya.

Meskipun masih belum berada di pasaran, Vida mendedahkan jersi tersebut mendapat permintaan dari penyokong bola sepak negeri lain.

“Jersi yang cantik ini bukan untuk penyokong Kelantan semata-mata tetapi orang Johor, Sabah, Sarawak dan Perak turut membuat tempahan. Pendek kata, jersi ini amat dinanti-nanti orang ramai,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan terpedaya dengan jersi PQPTRW yang sudah berada di pasaran.

“Ingin saya tegaskan di sini, jika ada jersi PQPTRW yang dijual, itu bukan original. Saya percaya pasti ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menjual jersi ciplak,” katanya.

Terdahulu, Kafa melancarkan tiga jersi edisi PQPTRW yang memberi lebih pilihan kepada penyokong selain mempunyai fungsi kesihatan.

Jersi berkenaan masing-masing dibahagikan kepada tiga edisi iaitu Man Tera dijual pada harga RM68, Millenia (RM98) dan Supra Player (RM168).

Dalam perkembangan berasingan, Vida mahu pemain PQPTRW mempamerkan persembahan terbaik dalam usaha mengutip tiga mata penuh di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Kelantan pada malam Selasa.

“Tiada alasan untuk tidak lakar kemenangan dan pemain kena main molek di hadapan penyokong sendiri. Saya harap tuah mengiringi pasukan ini di stadium sendiri malam Selasa,” katanya.

Skuad PQPTRW akan melayan kunjungan PDRM pada aksi kedua Liga Super 2016 malam Selasa.
mstar

No comments:

Post a Comment