AYER KEROH - Seorang bekas perunding akademik di sebuah kolej swasta yang beroperasi di Alor Gajah menuntut bayaran penuh elaun dan komisen tertunggak lebih RM5,000 sejak dia mula bekerja dua tahun lalu.
Noorhazwah Jalil, 27, berkata, dia yang bertugas berstatus tidak tetap berasa tertipu apabila pihak pentadbiran kolej terbabit tidak melaksanakan perjanjian ditetapkan seperti diberitahu semasa sesi temu duga.
Menurutnya, dia dijanjikan komisen RM800 sekiranya berjaya menarik kemasukan seorang pelajar tanpa dijelaskan tidak perlu melengkapkan segala dokumen pelajar dan memastikan bayaran penuh dilakukan.
“Sekiranya pelajar tidak membuat permohonan lengkap untuk masuk pendaftaran, kami tidak dibayar komisen. Kalau ikut perjanjian, kami kena urus pendaftaran sahaja dan kami tak tahu semua dokumen perlu diuruskan dan komisen juga akan dipotong sekiranya pelajar berhenti.
“Saya bersama rakan lain juga dipaksa bekerja seperti kakitangan tetap dari jam 8 pagi hingga 5 petang selain dipaksa bekerja pada Sabtu dan Ahad,” katanya ketika membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersama Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM).
Noorhazwah berkata, dia juga perlu menggunakan duit poket sendiri sekiranya melakukan tugas mempromosikan kolej, selain tidak dibayar elaun perjalanan sekiranya mengambil pelajar dari luar Melaka.
Ditanya mengenai aduan dibuat, Noorhazwah berkata, dia tidak mahu ada pihak lain yang tertipu dengan janji-janji palsu sekiranya ingin menyambung pengajian atau bekerja di kolej berkenaan.
Dia yang berhenti kerja November lalu bertindak sedemikian kerana sudah tidak tahan dengan karenah pihak kolej bagaikan mengerah tenaganya demi mengaut keuntungan besar.
“Ramai rakan-rakan saya tak berani buat aduan dan ramai pelajar juga sudah berhenti kerana yuran pengajian tinggi selain kelas sekejap ada sekejap tiada,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi LPKPM, Azlin Othman berkata, pihaknya akan menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengadakan pertemuan dengan pihak kolej bagi menuntut jumlah tuntutan Noorhazwah.
"Sekiranya ada pekerja mengalami nasib sama tidak perlu takut untuk tampil membuat aduan di JTK.
"Setiap majikan dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan tenaga pekerja bagi mengaut keuntungan, sebaliknya perlu lebih mempelajari dan memahami peraturan ditetapkan JTK,” katanya.
SH
No comments:
Post a Comment