Ahli-ahli UMNO mesti wajar merasakan diri mereka kini sudah berada dalam 'suasana perang' mulai sekarang sekiranya mahu Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan kuasa.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO yang baharu, Tan Sri Anuar Musa mendakwa malangnya masih ramai ahli parti tidak menghayati dan bersedia menghadapi 'peperangan'.
"Kita mesti tahu diri kita. Kekuatan dan kelemahan. Untuk menghadapi 100 peperangan. Untuk mendapat 100 kemenangan. Kita under attack.
"Kita bermasalah. Kita banyak musuh. Kita harus kenali diri kita dulu. Saya merasakan, kita tidak berada dalam suasana perang. Kita mesti berada di dalam suasana peperangan," ujarnya dalam majlis anjuran UMNO di Perak malam tadi.
Dalam nota talking point yang diterima Malaysia Gazette, Ahli Parlimen Ketereh itu selanjutnya mengakui keadaan mencabar sekarang dan perlunya berusaha menyelamatkan institusi presiden dan parti UMNO.
"I am giving my life for UMNO. Kita harus maksimumkan...efisien dan efektif. Efisien kadangkala tidak efektif," ujarnya yang mahu gerak kerja parti ada menghasilkan keputusan sekiranya mahu dilihat efektif.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang baharu dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan Datuk Ahmad Maslan dalam rombakan MT baru-baru ini juga menegaskan, UMNO mesti ada rangkaian yang hebat.
"Kita kena faham the game plan. Adakah kita ada hubungan kesemua 191 ketua penerangan UMNO seluruh negara? Kita mesti kenalpasti penyakit dan dapatkan ubat yang betul. Kita ada 21,500 cawangan. Kalau campur empat sayap. Ada 80,000 ketua penerangan cawangan. Wanita, Pemuda dan Puteri. Kita harus get connected mulai sekarang. Kita harus berperang dengan strategi," katanya.
Beliau seterusnya mahu ahli-ahli UMNO ada fokus seperti pembangkang yang menjadikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebagai sasaran.
"Kita tidak fokus sasaran kita. Kita harus fokus sasaran kita kepada DAP dan Pakatan Harapan. Tembak DAP," katanya lagi.
Ahli UMNO, katanya,tidak boleh lagi defensif kerana menyerang dilihat strategi terbaik.
Menurutnya, PKR dan PAN hanya alat kepada DAP dan UMNO perlu fokus kepada musuh sebenar dan dalam masa yang sama jangan membesarkan hal ehwal dalaman parti.
"Ketidakpuasan dalam parti harus diketepikan. Fokus hadapi lawan dan PRU akan datang. Siapa pun Presiden UMNO, dia akan tetap diganyang oleh musuh-musuh politik.
"Kita perlu dan harus pertahankan Presiden UMNO kita," katanya sambil memberitahu antara tujuan lawatannya ke Perak bagi mendengar suara akar umbi ahli-ahli UMNO sendiri.
MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment