ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SKMM PERKEMAS KEUPAYAAN KESAN PENGHASUT - DS AHMAD SHABERY CHEEK

Monday 1 December 2014

SKMM PERKEMAS KEUPAYAAN KESAN PENGHASUT - DS AHMAD SHABERY CHEEK


KEMAMAN 1 Dis - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memperkemaskan keupayaan bagi menangani dan mengesan individu atau kumpulan yang terbabit dalam cubaan menghasut rakyat, memecahbelahkan keamanan dan mengancam kestabilan sosial yang dinikmati negara, selama ini.
 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara ini dipandang serius kementeriannya setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 semasa  penyampaikan ucapan dasar Presiden pada perhimunan Agung Umno, Khamis lepas.

"Beberapa langkah untuk mendidik rakyat dan menyebarkan maklumat mengenai akta berkenaan akan dijalankan seperti mana dilakukan ketika menyebarkan informasi berkenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berkhatan dan Bertindik di Felda Neram Satu dekat sini semalam.

Beliau menjelaskan, rakyat perlu memahami tentang dasar kerajaan dan perundangan negara agar mereka tidak sewenang-wenangnya membuat provokasi menerusi laman sosial yang boleh menjurus kepada aktiviti menggugat keselamatan negara.
  
"Sebenarnya adalah salah tanggapan dan tohmahan sesetengah pihak yang mengatakan Perdana Menteri tunduk kepada golongan yang dikatakan Melayu ekstrem kanan dalam Umno dan terus membuat perubahan kepada akta tersebut.
  
"Akta ini dikekalkan dan dibuat penambahbaikan adalah untuk mengawal golongan ekstrem di dalam masyarakat seperti ekstrem kaum, ekstrem agama, ekstrem kebebasan bersuara secara mutlak yang bertujuan untuk mempertahankan kestabilan dan keharmonian dalam negara ini," katanya.

Katanya, pengekalan akta itu adalah selari dengan dasar dan wawasan Wasatiyyah dan sekiranya akta ini dihapuskan ramai yang beranggapan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab akan bebas bersuara untuk menghina, mengutuk berkaitan agama serta peribadi orang lain.
  
"Jadi kita mesti tahu bahawa keamanan dan kepentingan awam adalah lebih penting daripada kebebasan melampau mana-mana individu yang berada di dalam negara ini," katanya.
  
Pada majlis itu, sebanyak 100 pelajar berusia antara sembilan dan 12 tahun daripada lima kampung sekitarnya menyertai program berkenaan yang turut dihadiri Anggota Dewan Negara, Senator Datuk Rohani Abdullah.

No comments:

Post a Comment