ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PEMIMPIN WANITA DAP AJAK ULAMA PAS BERDEBAT

Saturday 20 December 2014

PEMIMPIN WANITA DAP AJAK ULAMA PAS BERDEBAT

Setiausaha DAPSY Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid percaya keutamaan perlu diletakkan dengan isu rasuah berbanding hukum hudud. – Gambar fail  The Malaysian Insider, 19 Disember, 2014.

Susulan cabaran pemimpin PAS Zaharudin Muhammad terhadap Lim Guan Eng supaya berdialog dengannya berhubung isu hudud, seorang pimpinan wanita DAP peringkat belia DAP hari ini mengajak ahli Majlis Syura Ulama itu berdebat pula dengannya.

Setiausaha DAPSY Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid hari ini mengajak pemimpin dari Majlis Syura Ulama PAS berdebat dengannya ekoran ketegasan parti Islam itu untuk melaksanakan Hudud.

Menurut Syerlena, debat bersama PAS akan menggariskan sebab mengapa membanteras rasuah lebih penting dari ingin melaksanakan hudud.

"Sebagai seorang rakyat Malaysia beragama Islam, saya sesungguhnya percaya keutamaan kita seharusnya diletakkan kepada usaha membanteras rasuah dalam negara, lagipun rasuah merupakan akar segala kejahatan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

"Oleh yang demikian, saya ingin melontarkan cabaran ini kembali kepada Zaharudin, biar sahaja kita berdua berdebat tentang hal ini.

"Kita sewajarnya berbincang tentang hal ini berasaskan fakta dan bukan emosi mentah mahupun sebarang bentuk ancaman, supaya seluruh Malaysia dapat memahami betapa seriusnya isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera itu menyifatkan cabaran dialog mengenai hudud yang dibuat Zaharudin terhadap Lim itu "sesuatu yang agak pelik."

"Nampaknya Zaharudin, yang juga menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, benar-benar serius mahu mengetahui pendirian DAP mengenai hudud," katanya.

Syerleena berkata, pendirian DAP mengenai hudud dan pelaksanaannya, seperti yang disebut penasihat parti Lim Kit Siang, sama dengan pendirian tiga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

"Undang-undang hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan asas sebuah negara sekular, dengan Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan dan kebebasan beragama yang dijamin buat agama-agama lain."

Katanya, Zaharudin harus faham yang garis pemisah di antara negara sekular dan negara Islam di Malaysia ini seringkali diabaikan, akibatnya, kebanyakan rakyat terlupa yang Perlembagaan Persekutuan itu bersifat sekular.

"Sekular tidak bermakna DAP menentang Islam, atau apa jua agama lain. Maksud sekular ialah supaya kita dapat bertoleransi, bermesra dan menghormati semua agama. Kami percaya semua orang dilihat sama di mata undang-undang," katanya.

Syerleena mendakwa, PAS sekali lagi menunjukkan sisinya yang sebenar melalui berahinya melaksanakan hudud, walaupun jika ia hanya akan dilaksanakan di Kelantan.

"Tidak kisahlah kalau Malaysia ini negara yang berbilang kaum dan berbilang budaya di mana undang-undang sedia ada dirangka para leluhur melindungi setiap seorang warganegara dengan pengadilan moral yang sebaiknya secara adil.

"Tidak kisahlah jika ini akan dengan sendirinya menjahanamkan apa yang diusahakan Pakatan Rakyat – tepikan perbezaan dan bersatu sebagai sebuah perikatan politik demi perubahan yang sangat diperlukan di negara ini.

"Tidak kisah jugalah jika hal ini akan merosakkan semangat pengundi, terutamanya saudara senegara yang bukan beragama Islam yang setulus hati mempercayai slogan ‘PAS-4-All’."

Katanya, DAP ialah parti yang percaya dengan usaha mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan gender, usaha mendaulatkan kesaksamaan dan solidariti dan kepentingan mengekalkan keharmonian hubungan antara kaum dengan sesama warga Malaysia dari setiap lapisan.

"Mungkin Zaharudin patut bertanya dirinya, adakah beliau menentang demokrasi, kebebasan, keadilan sosial, hak asasi manusia, kesaksamaan gender dan peluang saksama?" soalnya.

No comments:

Post a Comment