KUALA LUMPUR: Kebimbangan bencana banjir berulang oleh penduduk di beberapa kampung di pinggir bandar Kuantan, Pahang dan Kuala Krai, Kelantan menjadi kenyataan apabila mereka terpaksa kembali semula ke pusat pemindahan hari ini.
Mereka yang sedang sibuk mencuci rumah terpaksa berpindah semula dalam masa tidak sampai 48 jam selepas banjir surut Sabtu lalu apabila rumah mereka dinaiki air hari ini ekoran hujan lebat malam tadi.
Di KUANTAN, tinjauan BERNAMA mendapati Kampung Pandan, Kampung Chendering dan Perumahan Awam Kos Rendah Pandan paling teruk terjejas ekoran paras air naik mendadak selepas hujan lebat berterusan sejak tengah malam semalam.
Seorang mangsa banjir, Kamariah Jusoh, 65, berkata, beliau yang telah pulang ke rumah daripada pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan dekat sini Sabtu lalu terpaksa kembali semula ke situ hari ini ekoran rumahnya kembali dinaiki air.
"Sebelum ini saya dah tinggal di sini (pusat pemindahan) dua hari...baru sahaja pulang ke rumah dan mula cuci rumah tiba-tiba air naik semula...kotor semula rumah makcik," katanya ketika ditemui pemberita di pusat itu hari ini.
Ibrahim Jamal, 60, pula terpaksa menutup semula kedainya ekoran paras air naik mendadak sejak awal pagi semalam.
Sehingga 4 petang tadi, seramai 364 mangsa melibatkan 101 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.
Di KUALA KRAI, limpahan air Sungai Lebir akibat hujan lebat memaksa penduduk Kampung Laloh yang sedang sibuk mencuci rumah hari ini, bergegas menyelamatkan diri ke pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh.
Tinjauan BERNAMA mendapati ada beberapa rumah penduduk ditenggelami air sehingga mencecah bumbung.
Seorang penduduk Ibrahim Mat, 65, berkata, apa yang menjadi keutamaan dirinya dan isteri ketika banjir itu melanda ialah keselamatan tiga orang anak mereka yang berumur dalam lingkungan lapan hingga 14 tahun.
"Pokcik denge mokcik meme tok pikir apo doh. Keselamate anok-anok..hok tu yae penting (Pakcik dengan makcik memang tidak fikir apa dah. Keselamatan anak-anak...hak tu yang penting)," katanya ketika ditemui.
Ibrahim berkata, jumlah kerugian dialaminya tidak begitu tinggi kerana barang-barang sudah dialihkan ke tempat tinggi sebelum banjir gelombang pertama melanda.
Ketua Balai Polis Paloh, Sarjan Mejar Hamatli Seman, berkata secara keseluruhan, terdapat 18 keluarga melibatkan 69 penduduk yang sedang berada di pusat pemindahan itu.
Sementara itu, jalan ke Kampung Lata Rek, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kuyu, di sini, terputus hubungan apabila ditenggelami air dari sungai Lata Rek, dan diburukkan lagi dengan kejadian tanah runtuh di laluan sebelum kawasan banjir itu.
Seorang penduduk, Mohd Zawawi Mohamad, 27, mendakwa tanah runtuh itu terjadi apabila sebuah syarikat yang ingin membuat projek sarang burung walit, telah mengorek tanah bukit secara sewenang-wenangnya.
"Bila dia tarah bukit tu, tanah runtuh akibat hujan lebat sampai menyusahkan penduduk setempat," katanya.
Anggota tentera daripada Kem Sungai Durian, Kuala Krai turut terlibat dalam operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment