ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AZMIN ALI DICABAR PECAT ANWAR

Tuesday, 9 December 2014

AZMIN ALI DICABAR PECAT ANWAR


SHAH ALAM – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dicabar menarik balik jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor berikutan integriti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah tercalar selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepadanya berkuat kuasa 3 November lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsudin Lias yang melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam berkata, tindak tanduk dan tingkah laku Anwar sebelum ini telah beberapa kali mempersoalkan integriti Sultan Selangor dan institusi raja.

Menurutnya, jika Azmin benar-benar menghormati dan memahami keputusan Sultan Selangor maka Timbalan Presiden PKR itu perlu berbuat demikian.

“Tindak tanduk dan tingkah laku Anwar itu hanya berlandaskan cita-cita untuk menjadi Menteri Besar namun gagal seterusnya ingin meletakkan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan yang akhirnya mengundang kemelut dan krisis.

“Akibat kemelut tersebut, selama sembilan bulan negeri ini terabai dan hilangnya fokus pentadbiran dalam menyelesaikan isu-isu kesusahan rakyat dengan cekap gara-gara kemelut politik yang berpanjangan,” katanya.

Azmin melantik semula Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor selepas Abdul Khalid semasa menjadi Menteri Besar menutup Pejabat Penasihat Ekonomi Sela­ngor bagi menjimatkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

Mohd. Shamsudin menambah, berikutan kemelut politik berkenaan, rakyat merasai penderitaan dan bebanan sehingga berlaku krisis air berpanjangan dan wabak denggi.

Jelasnya, berlaku peningkatan serius kes demam denggi di negeri ini dengan 44,000 kes dan lebih 66 kematian.

“Ini hanya berpunca akibat kegagalan kerajaan negeri mentadbir dengan lebih cekap sehingga mengabaikan fokus terhadap isu semasa yang dihadapi rakyat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment