ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LELAKI MENYAMAR POLIS DITAHAN, PERDAYA LIMA WANITA DI GEORGE TOWN

Monday, 10 November 2014

LELAKI MENYAMAR POLIS DITAHAN, PERDAYA LIMA WANITA DI GEORGE TOWN


George Town- Helah seorang lelaki yang menyamar sebagai Inspektor Polis untuk memikat dan memperdaya wanita berakhir apabila dia ditahan di rumahnya di Tingkat Paya Terubong di sini, 8 November.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata setakat ini suspek berusia 25 tahun itu dikesan menipu sekurang-kurangnya lima wanita
melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM20,000.

"Namun kegiatannya terbongkar apabila seorang daripada mangsanya membuat
laporan mendakwa suspek mengugut mahu menyebar gambar aksi seks mereka baru-baru ini dengan meminta sejumlah wang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan pukul 6.05 petang itu, polis merampas sepasang pakaian seragam polis, tali pinggang mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua pistol mainan, walkie talkie, empat surat pajak gadai dan sekeping kad keahlian Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Katanya siasatan mendapati suspek menyamar sebagai seorang Inspektor yang kononnya bertugas di Cawangan Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang dan mempunyai perwatakan menarik serta bijak menabur janji manis untuk menjerat mangsanya.
ACP Mior Faridalathrash berkata lelaki terbabit hanya bersekolah setakat darjah empat dan pernah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney di Melaka dari tahun 2006 hingga 2010.
Katanya suspek yang telah berkahwin itu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada tiga hukuman, jika sabit kesalahan.
-BERNAMA

No comments:

Post a Comment