ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KEPULANGAN SHALWATI DISAMBUT SUAMI

Wednesday, 1 October 2014

KEPULANGAN SHALWATI DISAMBUT SUAMI

Shalwati Norshal

SEPANG: Warga Malaysia, Shalwati Norshal, 46, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.40 tengah hari Rabu, selepas dibebaskan daripada Penjara Hinseberg, Frovi, Sweden Isnin lalu. 

Ketibaan Shalwati disambut oleh suaminya, Azizul Raheem Awaluddin, yang telah pulang ke Malaysia Julai lalu selepas dia selesai menjalani hukuman penjara. 

Sebaik sahaja tiba, Shalwati hanya melambaikan tangannya kepada pemberita yang menunggunya di balai ketibaan, sementara sidang media kemudiannya diadakan di pejabat Tourism Malaysia di KLIA. 

"Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan anak-anak saya petang ini. Mereka tahu saya tiba hari ini." katanya kepada pemberita. 

Ditanya mengenai layanan yang diterimanya ketika berada di penjara, Shalwati berkata, dia dilayan dengan baik tanpa sebarang masalah. 

"Tahap keselamatan di sana memang ketat. Namun mereka melayan saya dengan baik," katanya.

Guru berkenaan turut menyifatkan hukuman penjara yang dilaluinya sebagai cara untuk 'meningkatkan tahap keimanannya'. 

"Inilah masanya untuk saya betul-betul dekat dengan Allah," katanya, sambil mengesat air mata. 

Suaminya Azizul, seorang Pegawai Tourism Malaysia turut dijatuhi hukuman penjara pada 29 Mac lalu kerana mendera anak-anak mereka sejak September 2010.

Azizul kemudiannya dibebaskan pada 9 Julai selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan.

Pasangan berkenaan menaiki pesawat untuk pulang ke kampung halaman mereka di Kota Baru, Kelantan, untuk bertemu dengan anak-anak mereka pada petang ini.

No comments:

Post a Comment