Hari kedua prosiding rayuan akhir kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bermula dengan sedikit kekecohan apabila penyokong PKR cuba merempuh pagar halangan polis pagi tadi.
Mereka yang mula bergerak dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 8.30 pagi tadi dan kemudian berarak menuju ke lokasi perbicaraan Anwar di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman sambil melaungkan slogan 'bebaskan Anwar' dan 'reformasi'.
Suasana tegang tercetus apabila Naib Presiden PKR, Tian Chua dan penyokong Anwar yang berjumlah hampir 200 orang itu cuba merempuh pagar sekatan yang dipasang pihak polis.
Aksi ganas berkenaan berlanjutan selama hampir 15 minit sebelum penyokong-penyokong Anwar mengalah dengan ketegasan pihak keselamatan yang bertugas serta hasil pujukan petugas Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR antara lain meminta penyokong menjaga imej parti.
Cubaan merempuh pagar sekatan polis berlaku kali kedua ketika sekatan dibuka bagi Anwar dan isteri, Datin Seri Wan Azizah serta beberapa orang anak mereka untuk memasuki perkarangan Istana Kehakiman.
Situasi tegang itu bagaimana pun berjaya dikawal oleh pihak keselamatan.
Hari ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria mendengar sambungan hujahan peguam berkaitan kes liwat melibatkan Anwar.
Turut mendengar hujahan rayuan adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif bersama-sama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdul Hakim Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramli Ali.
No comments:
Post a Comment