ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: NELAYAN DIPENJARA 14 HARI, DENDA RM2,000 TUMBUK MATA ADUN KUALA PERLIS

Wednesday, 29 October 2014

NELAYAN DIPENJARA 14 HARI, DENDA RM2,000 TUMBUK MATA ADUN KUALA PERLIS


KANGAR: Seorang nelayan dihukum penjara 14 hari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana didapati bersalah mencederakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Mat Hassan, dua tahun lalu.

Majistret Norhayati Ibrahim membuat keputusan itu terhadap Fauzi Yusof, 38, dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan mulai semalam.

Beliau juga memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Norhayati pada penghakimannya, berkata bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Fauzi pada 8 September 2012 kira-kira jam 9.15 pagi di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Mat Hassan dengan menumbuk bahagian hujung mata kiri mangsa.

Norhayati berkata, pihak pembelaan yang mengemukakan keterangan bahawa tertuduh cuba membela diri selepas diprovokasi juga tidak memenuhi prasyarat bagi tujuan itu.

Peguam tertuduh, Mohd Asrul Affendi Abdul Halim dan Mohd Hapiz Rajali kemudiannya meminta mahkamah membenarkan penangguhan terhadap hukuman penjara tertuduh atas alasan isteri tertuduh menghidap darah tinggi dan kencing manis serta seorang anaknya masih bersekolah.

Norhayati membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dengan ikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.- Bernama


Credit :hhalem.blogspot

No comments:

Post a Comment