KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, dipenuhi ratusan penyokong dan pengikut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu mengikuti perbicaraan kes saman RM2 juta terhadapnya.
Pekarangan mahkamah mula dipenuhi penyokongnya sejak jam 8 pagi bagi mengikuti perbicaraan kes itu.
Malah, galeri awam mahkamah turut dipenuhi penyokongnya.
Abdul Hadi tiba di mahkamah pada jam 9.30 pagi
Mahkamah Tinggi di sini, sebelum ini memerintahkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.
Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.
Mohd Shamsul memfailkan saman itu bagi membersihkan namanya susulan ceramah Abdul Hadi di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.
Beliau mendakwa ceramah itu mengaitkan calon PKR dengan pil kuda, sekali gus menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.
Plaintif sebelum ini menghantar surat kepada Abdul Hadi menuntut permohonan maaf secara terbuka, namun dalam surat balasnya, Presiden PAS itu menafikan pernah mengaitkan plaintif dengan kegiatan penagihan pil kuda.
Bernama
No comments:
Post a Comment