SESUNGGUHNYA saya pasrah dengan kehidupan ini. Saya akui, bukan mudah untuk bangkit dan bertahan setelah hati berpuluh-puluh kali disakiti. Apatah lagi, selama lapan tahun perkahwinan, saya tidak pernah menerima nafkah seperti yang selayaknya kaum suami berikan.
Namun, saya harus bangkit dan memperjuangkan kedudukan diri demi cinta dan anak-anak yang masih kecil, serta bayi dalam kandungan.
Nama samaran saya Juli. Saya kini hamil tujuh bulan anak ketiga, hasil perkahwinan saya dengan suami, seorang pemilik restoran di Shah Alam. Saya berasal dari Selatan tanah air dan dahulunya seorang pelajar kursus kulinari di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Setelah beberapa bulan berkenalan dengan suami lapan tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengannya, atas dasar cinta.
Pada awalnya, keluarga keberatan memandangkan saya baru habis belajar dan bercita-cita untuk menyambung di peringkat Diploma. Tetapi, dek kerana kesungguhan saya yang ingin berkahwin, keluarga tidak dapat menghalang dan saya akhirnya berkahwin dengan lelaki yang saya cinta.
Suami curang
Suami berbeza umur tujuh tahun dengan saya. Kehidupannya, gayanya, duitnya, buat saya alpa akan dugaan berumah tangga yang menanti di masa hadapan. Saat itu saya tidak pernah terfikir bahawa hati manusia mudah berubah. Dan lelaki yang mencintai kecantikan wanita dari luaran, akan terus mencintai dan memburu kecantikan itu. Pemburu itu adalah suami saya.
Di saat saya hamilkan anak pertama, perubahan drastik berlaku pada tubuh. Daripada seorang yang tinggi, cantik dan ramping, saya berubah menjadi tembam dan gempal. Leher saya yang jinjang berubah kehitam-hitaman akibat alahan. Kaki saya yang panjang dan cantik menjadi semakin menebal dek tempelan lemak. Ia buat saya nampak pendek dan hilang seri.
Apatah lagi, selulit mula kelihatan dan saya semakin hilang keyakinan diri serta merasa tertekan dengan kandungan. Saya alah teruk sehinggakan tidak suka pada wangi-wangian. Hilanglah seri dan kecantikan yang saya miliki.
Di hadapan saya, suami melayan dengan baik seperti biasa. Namun suatu hari, telefon bimbitnya memecahkan segala tembelang suami. Mesej berbunyi, ’sayang dah sampai kedai’ buat dada saya berdebar-debar. Saya hubungi nombor tertera dan suara yang kedengaran di hujung talian amat menyesakkan nafas. Ya, saya kenal suara itu. Dia pekerja wanita di restoran milik suami dan telah lebih setahun bekerja dengan kami. Ya ALLAH, demi Mu saya amat tertekan dengan perkhabaran ini.
Rupa-rupanya, sepanjang saya hamil, ada perempuan lain yang menghiburkan suami saya di luar. Hati saya hancur. Saya bergaduh dengan suami dan minta penjelasan kenapa saya diperlakukan sedemikian. Alasan suami amat mudah, saya sudah tidak menarik seperti dahulu lagi.
Terima bermadu
Saya ambil keputusan keluar dari rumah dan menyendiri sehinggalah saya habis berpantang. Saya pulang ke kampung mengadu pada ibu dan adik-beradik. Hidup saya menjadi kucar-kacir kerana saya selalu menangis dan menyalahkan diri sendiri serta kandungan. Saya tidak membenci bayi saya tapi saya membenci kehidupan saya sebagai wanita yang terpaksa mengandungkan anak dan mengalami perubahan teruk pada tubuh badan.
Apa salah saya sehingga kecantikan yang mengikat hati suami terhadap saya selama ini hilang sekelip mata? Saya selalu memutar soalan itu dalam kepala sehingga saya merasa sakit yang amat sangat. Saya menjerit. Melempar semua barang yang ada dalam bilik termasuk menggigit-gigit cadar dan selimut. Saat itu, ibu akan menjauhkan bayi daripada saya, kerana menurut ibu, saya meroyan dan hampir mencederakan diri sendiri.
Dalam tempoh berpantang, saya tidak ingat berapa kali suami datang melawat saya di kampung kerana saya tidak pernah mengingati wajahnya lagi. Kata ibu, suami selalu datang tapi keadaan tidak mengizinkan beliau untuk menemukan kami. Saya selalu menjerit mahu berjumpa suami dan teman wanitanya. Saya ingin tahu, apa salah saya? Saya sanggup menerima jika ditakdirkan bermadu tapi saya tidak sanggup kehilangan suami yang amat saya cintai.
Hikmah hidup
Keluarga banyak membantu saya menjalani rawatan. Berkat usaha dan doa mereka yang tidak pernah padam, saya sembuh dari tekanan.
Saya kembali ke pangkuan suami dan saat itu saya merelakan diri dimadukan. Saya juga tidak kisah suami membawa madu tinggal serumah dengan saya. Suka duka perkahwinan, kami tempuh dan kongsikan bersama.
Kini, madu adalah teman baik saya. Kami terbuka berbincang apa sahaja. Saya mula sedar, ada hikmahnya madu didatangkan ALLAH dalam hidup saya.
Sepanjang tempuh ini, saya sudah pun hamil tiga kali dan kini menunggu masa untuk melahirkan. Madulah yang banyak menjaga saya. Kadangkala saya kasihankannya kerana dia melayan saya bukan sahaja sebagai isteri tua suami, tetapi masih ibarat majikan. Dia menjaga saya dengan baik. Saya juga menantikan jika dia akan hamil seperti saya. Namun masih belum ada rezeki.
Soal sikap suami, biarlah kami berdua pendamkan. Apa yang boleh kami kongsikan adalah, jika suami memburu kecantikan, maka dia akan terus memburu. Jika dia memburu akhirat, maka pemburuannya pasti menghasilkan cinta yang lebih indah.
Doa kami semoga keluarga kami sejahtera hingga akhir hayat. Madu kini teman rapat.
No comments:
Post a Comment