ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS TERIMA DUA BERITA BURUK, IBARAT ‘SUDAH JATUH, DITIMPA TANGGA’

Friday, 26 September 2014

PAS TERIMA DUA BERITA BURUK, IBARAT ‘SUDAH JATUH, DITIMPA TANGGA’

PAS Koyak

Kuala Lumpur – Dua berita yang boleh dikatakan paling malang atau kejutan berganda dalam tempoh 12 jam, begitulah nasib PAS apabila tewas di negeri terkuatnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor malam tadi dan pagi tadi pula disusuli berita kuota EXCO Kerajaan Selangor susut daripada empat kepada tiga.

Dengan kekalahan memalukan pada PRK di Kelantan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatat majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum lalu, ia seakan-akan memberi isyarat jelas bahawa keyakinan penyokong pakatan terhadap kepemimpinan gabungan PAS-PKR-DAP semakin goyah, malah seakan menanti masa untuk rebah.

Sepanjang tempoh berkempen di Pengkalan Kubor bermula 13 hingga 24 September lalu, hanya jentera PAS yang ligat mahu memastikan calon mereka, Wan Rosdi Wan Ibrahim mampu memberi cabaran kepada calon BN, Mat Razi Mat Ail sedangkan rakan lain seolah-olah memerhati dari jauh.

Ini terbukti kelibat pimpinan utama PKR dan DAP bukan saja tidak nampak muka ketika hari pengumuman dan penamaan calon, malah tidak kelihatan langsung di pentas-pentas ceramah anjuran PAS yang selalu-lalunya berapi-api dan penuh provokasi.

Situasi sebegini menggambarkan pengundi seakan sudah luntur dan muak minat mereka dengan sandiwara politik dibawa Pakatan Rakyat kebelakangan ini.

Di atas kertas, mungkin ramai beranggapan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor sudah berakhir selepas Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang tampuk pemerintahan negeri terkaya di negara itu, pada Selasa lalu.

Walaupun Azmin dikatakan mendapat sokongan majoriti pimpinan tertinggi PKR, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan pakatan lain, namun masih ada suara sumbang yang mengatakan beliau bukan pilihan sukarela PKR.

Lebih jelas apabila nama yang dihantar ke Istana Selangor oleh setiap parti Pakatan Rakyat pada awal bulan lalu langsung tidak menyenaraikan beliau sebagai calon Menteri Besar, walhal PAS dalam mesyuarat Pimpinan Pusatnya pada 17 Ogos lalu menyokong Azmin dicalonkan bersama dengan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Namun, rakyat Selangor diramalkan masih tidak mampu tidur lena dek krisis MB Selangor mereka itu.

Krisis itu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin PAS apabila Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad sebelum ini berkali-kali mempertahankan supaya kuota EXCO untuk mereka tidak dikurangkan.

Ia berikutan timbul desakan oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mendesak kuota EXCO PAS disemak semula kerana PAS tidak menyokong langkah untuk menukar Abdul Khalid dan berpendapat PAS hanya layak diberi dua kerusi sagu hati.

Semalam pada awalnya, Azmin bersetuju untuk mengekalkan komposisi EXCO seperti dalam pentadbiran sebelum ini iaitu empat PAS, tiga DAP dan tiga PKR, namun pagi ini berlaku apa yang dikatakan ‘rombakan’ pada pengagihan kerusi EXCO apabila Azmin mengurangkan satu kerusi EXCO untuk PAS dan menambah satu kerusi untuk PKR menjadi empat.

Tidak cukup dengan itu, PAS sekali lagi menerima tamparan hebat apabila dua EXCO ‘senior’ parti, ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi dan ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali digugurkan dalam barisan baru kepimpinan Azmin itu.

Kini, EXCO PAS hanya diisi ADUN Chempaka, Iskandar Samad; ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus ‎Hairi dan ADUN Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib.

Barisan EXCO baharu itu jelas sebagai satu ‘hukuman’ kepada PAS yang dianggap pengkhianat dalam permuafakatan Pakatan Rakyat.

Malah, hubungan adik-abang yang digambarkan sangat akrab antara parti dalam Pakatan Rakyat sebelum ini dilihat semakin rapuh kerana pemimpin tertinggi setiap parti bergasak sesama sendiri.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, minggu lalu, mengkritik hebat tindakan PKR yang dakwanya “mencuri” dua wakil rakyatnya untuk menyokong presiden parti itu sebagai calon menteri besar.

“Takut majoriti tak dapat, curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat. Adakah ini etika bertahaluf? Kita tidak memandang ringan, dua wakil rakyat yang sanggup menyeberang, yang jadi broker, yang jadi barua, semua ada,” katanya.

Adakah keputusan Azmin mengurangkan kerusi EXCO PAS itu disifatkan sebagai hukuman berikutan tindakan PAS sebelum ini dilihat menongkah arus berbanding rakan pakatan yang lain dalam isu peralihan kuasa Menteri Besar?

Adakah PAS hanya sekadar mengambil sikap reda dan pasrah berikutan kedegilan adik-adiknya (PKR dan DAP) yang dilihat terlalu rakus berpolitik dan kurang sabar dalam memburu jawatan dan pangkat?

Atau PAS akan menimbang semula ‘tahaluf siyasi’ yang dipegang bersama Pakatan Rakyat dan mengambil langkah berani dengan mensabotaj pentadbiran Azmin pula selepas ini?

Apapun, usaha untuk menjernihkan kembali politik di Selangor sudah tentu mengambil masa yang lama yang tentunya sedikit sebanyak sudah mencalarkan hati pemimpin kanannya termasuk Hadi.

Ternyata, pihak yang menjadi mangsa keadaan dalam krisis Menteri Besar Selangor yang direncana oleh PKR ini adalah PAS sendiri.

Sudah tentu PAS yang sudah tercalar imejnya akibat pergolakan dalaman PKR ditambah pula dengan hasutan DAP, perlu memikirkan semula perkongsian kuasa dengan dua parti liberal itu.

Sekiranya PKR masih berkeras mahu semua parti pakatan menuruti kehendak politiknya yang rakus, dan PAS hanya menuruti kemahuan mereka, nescaya Pakatan Rakyat akan menerima musibah daripada pengundi dan rakyat Selangor khususnya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

No comments:

Post a Comment