ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AHLI PAS PERLU AKUR ARAHAN HADI AWANG

Tuesday, 23 September 2014

AHLI PAS PERLU AKUR ARAHAN HADI AWANG



Ahli-ahli Pas perlu akur dengan teguran dan arahan yang dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui ucapan penangguhan Muktamar Pas kali ke-60 lalu.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, teguran dan arahan Abdul Hadi itu perlu dilihat dari sudut positif bukannya negatif.

“Ia sangat positif. Cuma ada teguran-teguran yang patut dibuat oleh Presiden kepada ahli (sesi penangguhan) . Sebagai ahli kita akur dengan teguran dan nasihat pimpinan kita.

“Kita harap daripada teguran itu, ia akan menguatkan lagi hubungan. Kita boleh ketepikan soal perbezaan pendapat dan sebagainya. kita akur dengan beberapa arahan Presiden,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurut Tuan Ibrahim, beberapa perkara berbangkit mengaitkan hubungan tahaluf siyasi dengan parti-parti komponen PR yang perlu diperbaiki akan diperbaiki.

“Ada teguran-teguran itu kita anggap positif. Tak boleh kita ambil negatif. Semua sayang PR. Presiden, ahli, perwakilan pun sayang PR.

“Cuma, dalam hubungan itu ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan kita akan perbaiki,” katanya.

Sementara Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berpendapat, terpulang kepada pimpinan tinggi Pas untuk menanggapi segala teguran-teguran yang dibuat sepanjang muktamar berlangsung.

“Saya suka ada dinamik negatif dan positif (dalam muktamar). Barulah ada elektron keluar. Itulah kelebihan Pas, sebuah parti terbuka. Berani beri teguran dan pandangan kedua-dua segi.

“Jadi, terpulanglah kepada tiap-tiap pemimpin untuk mengambil inti sari nasihat-nasihat tersebut. Pada saya, itu semua memperkuatkan lagi Pas sebagai parti yang demokratik,” katanya.

Bagi AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan pula, walaupun terdapat beberapa perkara yang sepatutnya disentuh dalam perbahasan, namun muktamar kali ini disifatkan telah menyeluruh sepanjang ia berlangsung.

“Saya lihat mungkinlah ada satu dua perkara yang tertinggal dalam Ucapan Dasar (Presiden) yang dibahaskan. Tapi secara umumnya perkara-perkara penting itu sampai...dibahaskan," katanya.

No comments:

Post a Comment