ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENERANGAN CBP AKAN BERTERUSAN DI SELURUH NEGARA - HASAN MALEK

Friday, 17 April 2015

PENERANGAN CBP AKAN BERTERUSAN DI SELURUH NEGARA - HASAN MALEK

Penerangan CBP akan berterusan di seluruh negara - Hasan Malek
GEORGE TOWN: Kerajaan bersedia meneruskan penerangan tentang keuntungan pengguna hasil pelaksanaan cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) termasuk dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata penerangan itu penting supaya rakyat tahu CBP merupakan satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan berkesan.

Banyak negara telah melaksanakan sistem percukaian ini dan ada yang jauh lebih tinggi seperti Hungary dan Kenya masing-masing 16 peratus manakala  Pakistan dan Bangladesh masing-masing 15 peratus, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek zakat perniagaan Bank Rakyat kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, di sini pada Khamis.

Menjangkakan pembangkang akan memainkan isu CBP pada PRK Permatang Pauh, beliau berkata sifat pembangkang selalunya akan menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap apa sahaja yang kerajaan laksanakan.

Hasan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata pembangkang telah  banyak kali diberi peluang berdebat dan berbahas tentang CBP di Dewan Rakyat tetapi mereka masih ingin memutar belit perkara itu.

"Saya cukup yakin ... InsyaAllah penjelasan ini supaya rakyat akan lebih memahami tetapi kalau ada orang nak memutarbelitkan isu itu terpulang kepada hak mereka.

"Tugas kami sudah cukup jelas, CBP ini adalah untuk kekuatan ekonomi negara yang membolehkan kerajaan pembuat pembangunan infrastruktur yang lebih banyak khususnya pembinaan sekolah, klinik, jalan raya dan pembangunan modal insan," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata penguatkuasaan dan pemeriksaan CBP akan berterusan.

"Kementerian akan melipatgandakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua negeri bagi melindungi pengguna daripada ditipu," katanya.

Suruhanjaya Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini dan penamaan calon 25 April.

PRK Parlimen Permatang Pauh perlu diadakan selepas Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lepas menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Ketua Umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

No comments:

Post a Comment