ROMPIN - Barisan Nasional (BN) menamakan pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.
Pemilihan bekas timbalan Menteri Besar Pahang itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah di Pusat Operasi Jentera BN, Muadzam, di sini Sabtu.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, bagi menunaikan tanggungawab yang menuntut kepada gerak kerja yang lebih kuat, BN mengetengahkan tokoh politik yang berpengalaman dan tidak asing lagi bagi penduduk Rompin.
"Pucuk pimpinan parti telah memutuskan Hasan paling sesuai dan layak untuk bertanding mewakili BN di Parlimen Rompin atas banyak faktor, salah satunya pengalamannya cukup banyak dalam urusan dan pentadbiran parti dan kerajaan," katanya.
Majlis pengumuman itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, dan Naib Ketua Umno Bahagian Datuk Seri Maznah Mazlan.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata Hasan juga merupakan seorang tokoh yang telah melalui pelbagai peringkat jawatan dalam UMNO, dan pernah memegang jawatan sebagai bekas Timbalan Menteri Besar Pahang.
Berbekalkan pengalaman selama tiga penggal menjadi anggota dewan Undangan Negeri (Adun) Rompin, dan Bukit Ibam selama dua tiga penggal bermula 1982, selain pernah menjadi Exco kerajaan negeri, Hasan diyakini calon yang paling layak untuk mengangkat Rompin ke tahap yang lebih tinggi, kata Muhyiddin.
"Jadi kita fikir adalah sesuai untuk beliau meneruskan tradisi yang telah dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana penerimaan penduduk tempatan adalah baik dan saya rasa ini adalah pilihan tepat.
"Harapan kita adalah pengundi akan terima Datuk Hasan sebagai Anggota Parlimen kerana mereka telah biasa dengan beliau maka mudah untuk kemukakan apa sahaja isu dan permasalahan penduduk Rompin," kata Muhyiddin.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak mengambil mudah PRK ini walaupun ia merupakan kawasan kubu kuat UMNO yang tidak pernah dimenangi oleh parti pembangkang sejak dahulu lagi.
"Kita yakin mampu pertahan, namun penentunya adalah pengundi, kita kena atur langkah bijaksana dan jangan ambil mudah. Kebimbangan saya cuma satu, kebiasaannya PRK di kawasan yang mereka anggap BN akan menang, maka tak ramai nak keluar mengundi termasuk anggota parti.
"Jadi jika mereka buat begitu maka peratusan mengundi tidak akan tinggi dan itu akan menjejaskan majoriti yang ingin kita raih," katanya. Sehubungan itu juga, beliau sendiri telah menetapkan sasaran majoriti yang perlu dicapai dalam PRK kali ini selain Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang perlu diraih oleh setiap pusat daerah mengundi (PDM).
Muhyiddin turut mengingatkan jentera penerangan parti supaya turun ke peringkat akar umbi untuk menerangkan setiap isu berbangkit termasuk soal Felda dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang sudah mula menjadi bahan kempen parti pembangkang.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lepas.
Allahyarham menjadi Anggota Parlimen Rompin sejak enam penggal lepas bermula tahun 1990 dan pada pilihan raya umum tahun 2013, beliau menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei depan manakala hari penamaan calon pada 22 April ini.
Parlimen Rompin mempunyai 53,924 pemilih berdaftar dengan 1,300 pengundi Cina, 621 pengundi India dan lebih 7,000 pengundi Orang Asli.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment