Begitu teliti perancangan DAP Sarawak untuk mempengaruhi dan menembusi kawasan Bumiputera, khususnya di Opar dan di Lundu dalam persiapan mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan bila-bila masa yang terdekat ini.
Terkini, DAP Sarawak sudah melebarkan sayapnya ke DUN Opar dengan mengadakan program Bengkel Usahawan Manik di Kampung Stenggang dan Kampung Tembawang, Bau.
Kedua-dua kampung ini majoritinya adalah kaum Bidayuh dan bengkel tersebut mula beroperasi pada sekitar bulan Disember tahun 2014.
Menurut makluman dari penduduk setempat, hasil rantai manik dengan lambang DAP yang dibuat oleh penduduk kampung-kampung tersebut akan dibeli oleh seorang ahli DAP dari Kuching dengan harga RM15 satu.
Beberapa orang pengusaha barangan manik tersebut menyatakan, walaupun berkeberatan untuk menyatakan sokongan kepada DAP namun usaha pihak DAP membawa perubahan kepada masyarakat setempat ada memberikan kesan seperti bengkel manik yang dianjurkan telah berjaya memberikan peluang kepada golongan wanita menjana pendapatan sampingan.
Manakala di Lundu pula (kawasan DUN Tanjung Datu), DAP telah turut mengadakan projek Impian Sarawak English Camp di Kampung Jantan untuk anak-anak penduduk yang belajar di peringkat sekolah rendah di kawasan tersebut.
Dan difahamkan, program English Camp yang diperkenalkan oleh pihak DAP mendapat sambutan baik di kalangan ibu-bapa kerana pendidikan tambahan yang diberikan itu adalah secara percuma.
Persoalannya kini, apa yang perancangan Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi mengatasi cubaan DAP untuk mempengaruhi penduduk/pengundi di kedua kawasan tersebut dengan menggunakan ekonomi dan pendidikan sebagai umpan mereka?
Perlu di ingatkan ADUN Opar Datuk Ranum Mina (BN) pada PRN yang lepas mendapat 3,360 undi mengalahkan Stephen Sagir (SNAP) - 674 undi, Joseph Jindy Peter Rosen (Bebas) - 475 undi dan Boniface Willy Tumek (PKR) - 1,354 undi dengan majoriti 2,006 undi.
Sementara, ADUN Tanjung Datu Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem (BN) yang juga Ketua Menteri Sarawak dalam PRN yang sama mendapat 4,218 undi mengalahkan Gilbert Asson Kulong (Bebas) - 215 undi dan Nani Sahari (PAS) - 1,002 dengan majoriti 3,216 undi.
Ada yang berpendapat kedua projek ini adalah eksperimen DAP Sarawak bagi mengkaji dan mengenalpasti cara yang terbaik yakni samada ekonomi ataupun pendidikan bagi menembusi kawasan-kawasan Bumiputera.
Dan sekiranya kedua majoriti tersebut berkurangan pada PRN kelak, maka kedua-dua elemen tersebut (ekonomi dan pendidikan) akan dipergunakan sebagai bahan kempen mereka pada PRN-PRN yang akan datang dalam usaha mereka menawankan Sarawak.
Pemimpin-pemimpin BN seharus mempunyai inisiatif bagi mengatasi keadaan ini dan jangan hanya menanti pada saat-saat akhir PRN baru bertindak kerana sudah pasti ianya sudah akan terlambat pada masa itu. - Sarawakiana
No comments:
Post a Comment