KUALA KRAI - Sebuah kampung tradisional di tebing Sungai Kelantan, dekat sini, berubah menjadi seperti perkampungan pesisir pantai kerana dilitupi pasir akibat banjir besar yang melanda kampung itu, minggu lalu.
Bukan sahaja di kawasan bekas tapak rumah yang hanyut, jalan utama menghubungkan penduduk dengan bandar Kuala Krai serta tanah perkuburan Islam di kampung itu juga ditenggelami pasir yang dibawa arus banjir berkenaan.
Lebih menyedihkan, kesemua 23 keluarga di kampung itu kini hilang tempat tinggal apabila buat pertama kali dalam sejarah kampung tersebut, arus deras Sungai Kelantan melimpah dan menghanyutkan rumah mereka.
Ada juga beberapa rumah masih kekal di tapak asal tetapi keadaannya rosak teruk dan tidak lagi selamat untuk didiami, manakala rumah lain sama ada hanyut entah ke mana atau ‘beralih’ tempat.
Berteduh di bawah khemah
Seorang wanita berusia 67 tahun yang tinggal berseorangan di sebuah rumah di tebing sungai itu antara yang menjadi mangsa bencana itu apabila rumahnya dihanyutkan arus banjir.
Wanita terbabit, Sapinah Ibrahim berkata, bencana itu menyebabkan dia hilang tempat tinggal dan kini terpaksa berteduh di bawah khemah seperti penduduk lain.
“Masa air sungai melimpah masuk ke kampung ini, saya tidak berada di rumah dan bila saya nak balik, jalan masuk ke kampung ini sudah ditenggelami air.
“Bila banjir makin teruk, saya dihantar ke pusat pemindahan pada hari sama dan hanya dapat balik tengok keadaan rumah, tiga hari lalu tetapi semuanya sudah tidak ada,” katanya, semalam.
Sapinah, yang berasal dari Machang dan mempunyai empat anak bekerja di perantauan berkata, banjir itu adalah yang paling besar pernah disaksikan sepanjang hayat hidupnya.
“Paling tinggi air banjir pernah naik di depan rumah saya hanya setakat paras betis dan itu pun banjir darat, bukannya air sungai melimpah naik seperti minggu lalu,” katanya.
Pasir dari pulau berdekatan
Menurut imam kampung itu, Azman Ahmad atau lebih dikenali sebagai Haji Din, pasir yang melitupi perkampungan itu dipercayai berasal dari sebuah pulau sungai bersebelahan penempatan berkenaan.
Katanya, pasir pulau itu dipercayai dihanyutkan arus deras apabila air sungai berkenaan melimpah masuk ke kampung itu.
“Sebelum banjir minggu lepas, pulau ini hijau kerana penuh dengan pokok dan tumbuhan tetapi sekarang hanya tinggal pokok mati dan pasir,” katanya yang turut hilang rumah dalam kejadian itu.
Tambahnya, berdasarkan cerita generasi awal penduduk, kawasan itu asalnya sebahagian daripada kampung itu sebelum berubah menjadi pulau akibat banjir besar pada 1942.
“Sebelum banjir itu, ada penduduk dikatakan bercucuk tanam di kawasan tersebut kerana antara pulau dan kampung ini hanya dipisahkan dengan sebatang parit kecil.
“Kalau banjir 1942 menyebabkan kawasan itu jadi pulau, banjir minggu lalu pula menjadikan kampung ini ‘padang jarak, padang tekukur’ dan berubah jadi seperti kawasan tepi pantai,” kata Azman.
Dapat perhatian banyak pihak
Mengenai bantuan makanan, Azman berkata, penduduk bernasib baik apabila penderitaan mereka mendapat perhatian banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dari luar Kelantan.
“Hari ini (semalam) pun ada sukarelawan dari Pokok Sena, Kedah yang datang bantu bina khemah untuk penduduk jadikan sebagai tempat tinggal sementara.
“Khemah didirikan di tapak asal rumah yang hanyut dan paling diperlukan penduduk sekarang ialah bantuan seperti tikar, bantal dan kain selimut,” katanya.
SH
No comments:
Post a Comment