KOTA BHARU: Kerajaan akan memberikan bantuan ihsan sebanyak RM500 atau RM1,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dengan banjir di negeri ini bagi membantu mereka memulakan kehidupan selepas sekian lama tidak dapat bekerja.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, proses pendaftaran isi rumah yang terlibat dalam malapetaka tersebut masih dijalankan sehingga 15 Januari ini.
“Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkam Pegawai Daerah memerlukan sedikit masa sehingga 15 Januari untuk mengesahkan senarai daftar mangsa banjir di negeri ini, kita tahu isi rumah yang terlibat mungkin 30,000 hingga 40,000 maka langkah pertama kerajaan lakukan ialah memberi bantuan ihsan.
“Saya akan rujuk kepada Perdana Menteri jumlah yang akan diberikan kepada ketua isi rumah sama ada RM500 atau RM1,000, ini akan diputuskan secepat mungkin. Bila kita sahkan senarai, kita akan membuat pembayaran selewat-lewatnya 15 atau 16 Januari ini, untuk menyerah (bantuan) akan mengambil masa tetapi akan dilaksanakan seberapa segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Muhyiddin berkata, pihaknya juga akan memastikan setiap keluarga yang pulang ke rumah selepas banjir menerima bantuan makanan kering dalam tempoh tiga hari.
“Kalau pulang hari ini, akan diberi sumbangan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti beras, tepung, gula, susu dan minyak masak. Setiap isi rumah mendapat bekalan untuk membolehkan mereka menanggung beberapa hari permulaan,” katanya.
Katanya, kerajaan juga memberi tumpuan utama kepada masalah tempat tinggal yang begitu mendesak terutama bagi mangsa yang rumah mereka musnah 100 peratus dengan membina khemah atau menempatkan mereka di bangunan kerajaan yang tidak digunakan atau menyewa premis daripada pihak swasta.
“Langkah ini diambil sebelum kediaman sementara dibina untuk keluarga terbabit, sekiranya mereka memiliki tapak rumah, kita akan lihat jenis bantuannya sama ada memberi peralatan dan membina rumah secara gotong royong atau bantuan kewangan,” katanya.
UtusanOnline
No comments:
Post a Comment