ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GERHANA BULAN : ALAM SUDAH BERBICARA, TINGKATKAN KETAQWAAN !!!

Wednesday, 8 October 2014

GERHANA BULAN : ALAM SUDAH BERBICARA, TINGKATKAN KETAQWAAN !!!

Gerhana bulan: Alam sudah berbicara, tingkatkan ketaqwaan - Ahmad Dusuki


Menjelang malam ini, rakyat Malaysia akan menyaksikan kejadian 'gerhana bulan berdarah' yang bakal diiringi beberapa lagi fenomena angkasa lain yang unik dan jarang berlaku.

Selain menjadi tumpuan bersifat akademik bagi peminat dunia astrologi secara keseluruhannya, tanda-tanda istimewa cakerawala ini turut membawa pemahaman manusia dan umat Islam khususnya tentang kebesaran Allah SWT.

Tidak kurang juga, kejadian gerhana bulan turut membawa beberapa persoalan dan anggapan silap yang harus dikikis.

"Adalah salah untuk mengaitkan kejadian gerhana bulan dengan musibah dan juga kemudaratan. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyah dahulu yang beranggapan bahawa setiap kali kejadian gerhana berlaku, pasti ada kaitan dengan suatu bala atau kematian," ujar pendakwah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Menurutnya, selepas kedatangan Islam, kepercayaan bersifat khurafat itu telah dihapuskan dan diganti dengan pemahaman yang lebih baik. Umat Islam seharusnya melihat kejadian tersebut sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan mengakui kebesaran dan kekuasaan-Nya.

"Kita diingatkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan bertasbih kepada Allah. Malah ketika itu, seluruh alam bertasbih kepada-Nya," kata Ahmad Dusuki yang menggalakkan umat Islam agar mendirikan solat sunat gerhana bulan yang merupakan ibadah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan.

Pada masa yang sama, melalui kejadian-kejadian seumpama ini, terbit juga perspektif yang lebih luas iaitu tentang usia cakerawala ini.

"Ini juga adalah peringatan yang baik buat kita semua tentang penghujung zaman. Apabila manusia semakin lupa kepada-Nya dan membelakangkan ajaran Islam serta tidak mempedulikan nasihat alim ulama misalnya, maka Allah jadikan sesuatu untuk menunjukkan kekuasaannya. Alam sudah mula berbicara," kata Ahmad Dusuki.

Tambahnya, kekerapan fenomena besar dan bencana dahsyat dan berlaku sekarang ini seperti gelombang tsunami, taufan, tanah runtuh dan kekerapan berlakunya petir adalah suatu bentuk peringatan Allah tentang alam ini yang sedang menuju akhirnya.

No comments:

Post a Comment