Datuk Seri Najib Razak yakin rakyat menerima baik dan mahu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai mekanisme mengurangkan beban tanggungan kos sara hidup diteruskan pada masa akan datang.
Perdana Menteri berkata, sebagai mekanisme bantuan kebajikan yang lebih bersasar iaitu memberi fokus kepada golongan memerlukan, prinsip pemberian BR1M turut diikuti kerajaan negeri yang diperintah parti pembangkang walaupun jumlahnya jauh lebih kecil.
Beliau berkata, golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) iaitu berpendapatan RM3,000 ke bawah adalah kelompok yang perlu diberi bantuan.
"Ada pula kata yang (pendapatan) RM3,400 (perlu) berilah sikit. Lepas itu kata mereka yang bujang, pendapatan RM2,000 ke bawah kita bagi sedikit bantuan. Jadi semua sekali kita rangkumkan dalam BR1M. Saya lihat BR1M ni masih dikehendaki dan diterima baik oleh rakyat.
"Buktinya baru-baru ini saya rasmikan UTC (Pusat Tranformasi Bandar) di Seremban. Saya masuk pejabat cawangan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), ramai di situ bukan semak cukai tetapi menyemak nama mereka ada dalam senarai BR1M ke tidak.
"Jadi kalau mereka tak nak BRIM, takkan mereka ke LHDN. Lagipun kita sudah membuat 'survey' (kajian) dan banyak orang suka BR1M.
"Kalau kalau tak nak BRIM, janganlah ambil BR1M. Kalau tak suka pada BR1M, kalau kutuk BR1M, janganlah ambil BR1M," katanya ketika diwawancara Datuk Aznil Nawawi menerusi program Bicara 4 Mata yang disiarkan di portal therakyat, RTM dan TV3, malam tadi.
Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya mengenai keberkesanan pelaksanaan BR1M yang didakwa sebagai gula-gula oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, Najib menegaskan pendekatan atau dasar subsidi itu bukan perkara baharu kerana peruntukan subsidi sebelum ini bersifat subsidi pukal yang dimasukkan dalam barangan atau produk.
"Misalnya subsidi minyak, RON95, RON97, diesel dan LPG (gas petroleum cecair). Satu ketika dulu, dalam masa empat tahun dulu, kemuncaknya, kalau tak silap subsidi melonjak kepada RM22 bilion setahun.
"Apabila saya lihat angka itu, saya kata ini membazir. Kalau beri secara pukal yang untung orang yang berkereta besar. Tapi orang yang miskin, yang bawa Honda Cup, tidaklah berapa besar untung berbanding orang yang pakai kereta besar, contohnya Mercedes dan sebagainya.
"Eloklah kita kurangkan subsidi pukal dan ganti dengan subsidi bersasar. Timbullah cadangan kita buat BR1M ini.
"Bila buat BR1M, kita lebih 'targeted' (bersasar), lebih fokus kepada golongan yang memerlukan. Jadi kita hapuskan subsidi minyak, hampir tidak ada. Kita katakan rasionalisasi subsidi dan hasil yang kita jimat, kita pindah kepada BR1M. BR1M terus kepada orang yang memerlukan bantuan," katanya.
Najib berkata, kerajaan meneruskan bantuan kesihatan dan pendidikan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat yang dianggap sebagai subsidi tidak langsung tanpa disedari rakyat.
"Misalnya di tempat yang sama di UTC ada Klinik Rakyat 1Malaysia, ada orang betulkan gigi. Bayarannya RM1. Kalau di pergi swasta dia kena beratus ringgit.
"Ada sistem locker, diberi nombor kombinasi. Kita buka locker itu adalah ubat-ubat kita. Ada seorang itu, dia mengidap diabetes, jadi bila saya buka locker itu, saya serahkan ubat, sebeban ubatnya.
"Saya tanya pada doktor berapa ubat, doktor kata percuma sebab rawatan dan jumpa doktor di klinik kerajaan bayar RM1 saja. Ubat-ubatan free (percuma), jadi tengok banyak subsidi yang kita beri kepada rakyat," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut menyediakan pendidikan sekolah rendah, menengah, tadika secara percuma.
Di samping itu, Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan besar untuk bidang pendidikan dan kesihatan dalam Bajet 2018 demi kesejahteraan rakyat, sekali gus melonjakkan produktiviti negara,
"Kedua-dua ini penting untuk kesejahteraan rakyat. Sebab ini dikatakan pembangunan sosial termasuk pembangunan modal insan untuk masa depan negara kita. Kita mesti menyediakan generasi baru kita cukup dengan ilmu terkini dan pendidikan sebaik-baiknya," katanya.
No comments:
Post a Comment