ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: IBU SEGALA BAJET, RUU355 WARNAI SIDANG PARLIMEN 2017

Sunday, 31 December 2017

IBU SEGALA BAJET, RUU355 WARNAI SIDANG PARLIMEN 2017


Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi penggal kelima Parlimen ke-13 menutup tirai dengan lulusnya beberapa rang undang-undang (RUU) yang signifikan termasuk Perbekalan 2018 (Bajet 2018) yang disifatkan sebagai 'ibu segala bajet'.

Rang undang-undang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Okt lepas itu diluluskan pada peringkat jawatankuasa Dewan Rakyat apabila mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen melalui undian suara pada pukul 8.44 malam, 28 Nov lalu sebelum diluluskan di Dewan Negara pada 13 Dis lepas.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 yang bertujuan memperuntukkan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, menyenaraikan 233 insentif dan program bawah lapan pe-tunjang dengan mengambil hitung seawal kepentingan bayi dalam kandungan hinggalah kepada agenda untuk masa hadapan negara.

Ia dibahaskan di Dewan Rakyat selama 18 hari serta tidak terlepas daripada 'drama' dengan babak paling menonjol adalah serangan hendap pembangkang ketika Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin selesai menggulung perbahasan RUU itu pada peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Anggota Parlimen Kapar dari PKR, G. Manivannan dilihat menggunakan peluang keadaan Anggota Parlimen yang tidak ramai di dalam dewan dengan mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU berkenaan, sebelum ia berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian menolak.

Perkara itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kemudian mengambil tindakan dalaman serta menasihatkan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya lebih serius untuk menghadiri sesi Dewan Rakyat.

Barisan Nasional mempunyai 132 Anggota Parlimen, manakala pembangkang dengan 88 kerusi dan dua Bebas.

Selain RUU Perbekalan itu, Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun ini turut meluluskan lebih 30 RUU dengan antara yang penting ialah RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, bertujuan melindungi kanak-kanak 18 tahun ke bawah daripada jenayah seksual.

Selaras dengan akta yang berkuat kuasa pada 10 Julai lalu itu, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak turut diwujudkan bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

RUU lain yang diluluskan badan legislatif itu ialah Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017; Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017; Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017; Cukai Pelancongan 2017 dan Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017.

Sebelum penangguhan sidang mesyuarat itu bagi tahun ini, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017, yang membolehkan hakim mempunyai kuasa budi bicara sepenuhnya dalam menjatuhkan hukuman selain mati mandatori bagi kesalahan pengedaran dadah turut diluluskan.

Dalam pada itu, persidangan Dewan Rakyat tahun ini turut menyaksikan pembentangan RUU Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 6 April lalu, di sebalik 'gangguan' daripada beberapa anggota pembangkang lain.

Perbuatan anggota pembangkang itu yang membangkitkan beberapa perkara dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, telah melengahkan masa kira-kira 30 minit sebelum anggota Parlimen Marang itu dapat membentangkan usul berkenaan.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun, hukuman denda maksimum hingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Pada masa ini, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum hingga tiga tahun, denda maksimum hingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan.

Pandikar Amin kemudian membuat keputusan usul itu akan dibahas dan diputuskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Namun setelah Dewan Rakyat ditangguhkan pada 30 Nov lalu, usul persendirian itu tidak dibahaskan walaupun berada dalam aturan mesyuarat bagi mendahulukan urusan kerajaan yang lain selaras dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 15 (1).

No comments:

Post a Comment