Segelintit pihak dikesan cuba mengambil kesempatan memburukkan lagi isu hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak dengan menyebarkan berita palsu menerusi akaun laman sosial mereka.
Antara yang dikesan adalah berita bertajuk "FELDA kena bayar 2 bilion untuk miliki tanah itu semula" yang turut menggunakan gambar temubual eksklusif BH bersama Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menerusi BHTV.
Shahrir berkata, beliau mengesan berita itu ditularkan sejak hari pembongkaran BH pada Khamis lalu apabila ada pihak yang menghubunginya meminta penjelasan berhubung berita palsu terbabit.
"Mana ada kita cakap FELDA kena bayar RM2 bilion untuk dapatkan kembali tanah itu, semuanya mengarut.... hentikanlah.
"Mereka menggunakan gambar BH ketika temubual tempoh hari untuk dapatkan kepercayaan umum, maka saya meminta BH supaya memberitahu masyarakat yang berita itu adalah palsu," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.
Carian BH kepada berita terbabit berhasil menemui beberapa lagi status berita palsu yang dimuat naik dengan sengaja untuk ditularkan.
Bahkan, beberapa pihak berkepentingan politik turut menggunakan status berita palsu terbabit bagi mempengaruhi orang ramai berhubung isu tanah FELDA di Jalan Semarak.
Khamis lalu, BH menjadi tumpuan umum apabila melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik itu menerusi transaksi pindah milik tanah mencurigakan sejak 2015.
No comments:
Post a Comment