ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MUSIM TENGKUJUH SUDAH BERMULA

Tuesday, 1 December 2015

MUSIM TENGKUJUH SUDAH BERMULA


KOTA BHARU – Ramalan Jabatan Jabatan Meteorologi mengenai hujan lebat peringkat kuning yang dijangkakan berlaku bermula Khamis hingga Sabtu lalu bagaikan ‘permulaan’ kepada hujan berterusan di negeri ini.

Portal banjir kerajaan negeri sehingga jam 6 petang semalam, merekodkan belum ada pusat pemindahan dibuka menunjukkan keadaan masih terkawal walaupun hujan berterusan berlaku di beberapa tempat, terutamanya di daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan beberapa daerah lain.

Namun, kebimbangan kemungkinan bah tetap ada apabila bacaan paras air di tujuh sungai utama sehingga jam 6 petang semalam mencatatkan angka menaik terutamanya Sungai Golok di Rantau Panjang, dengan bacaan 9.64, iaitu melebihi paras bahaya 9.00.

Sungai Galas di Dabong pula mencatatkan bacaan 26.93, di bawah paras normal iaitu 28.00 dan Sungai Lebir di Tualang pula 25.12, iaitu menghampiri paras berjaga-jaga 27.00.

Sungai Kelantan di Tangga Krai menghampiri paras berjaga-jaga dengan bacaan 18.01 (berjaga-jaga 20.00) dan Jambatan Guillemard pula 11.10, melebihi paras normal 10.00, serta di Tambatan diRaja, masih lagi di bawah paras normal iaitu 0.52 (normal 1.00).

Sungai Golok di Jenob pula mencatatkan bacaan 20.58 iaitu menghampiri paras berjaga-jaga iaitu 21.50 dan Sungai Semerak di Pasir Puteh pula 0.35, di bawah paras normal, 0.40.

Portal itu juga memaklumkan, sehingga jam 6 petang semalam, tiada sebarang jalan ditutup berikutan limpahan air atau banjir kilat.  Namun kebanyakan pengguna menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang musim tengkujuh ini.

Sementara itu, laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia pula mengeluarkan amaran Kategori Pertama angin kencang dan laut bergelora dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah (Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman).

Selain itu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak juga turut sama terlibat dan ia dijangka berterusan sehingga semalam. Keadaan tersebut adalah berbahaya kepada bot-bot kecil dan aktiviti laut seperti rekreasi dan sukan.

Turut dikeluarkan adalah amaran ribut petir yang dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu yang dijangka berterusan sehingga semalam. Keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa dan menghubungi pihak berwajib bagi mendapatkan maklumat yang sah mengenai pusat pemindahan banjir dan sebagainya.
SH

No comments:

Post a Comment