PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 57,247 permohonan pendaftaran pemilih baharu dan 11,551 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi sepanjang tempoh pendaftaran pemilih suku keempat 2014.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) akan dipamerkan selama 14 hari mulai 10 hingga 23 Mac ini di 935 tempat pameran seluruh negara.
"Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada bulan Oktober, November dan Disember 2014 dinasihatkan menyemak DPT suku tahun 4/2014," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, DPT dipamerkan di 15 pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos berkomputer (449), kompleks/ pejabat kerajaan (85), pejabat daerah/ tanah (124), majlis daerah/ perbandaran (52), dewan serbaguna/ rukun tetangga/ balai raya/ penghulu (193) dan lain-lain tempat (17).
Beliau berkata, jika pemohon baharu mendapati nama mereka tidak tersenarai, mereka boleh membuat tuntutan menggunakan borang B dan menyerahkan kepada pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) pada waktu pejabat dalam tempoh pameran DPT itu.
Abdul Ghani berkata, pemilih berdaftar yang ingin membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu di sesuatu bahagian pilihan raya boleh berbuat demikian dengan mengisi borang C.
"Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan subperaturan 15(3) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih 2002)," katanya.
Menurutnya, bantahan menggunakan borang C hendaklah dikemukakan kepada pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) pada waktu pejabat dalam tempoh pameran DPT itu.
Beliau berkata, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih sepanjang tempoh pameran DPT itu.
Sebarang pertanyaan mengenai pameran DPT suku tahun 4/2014 boleh dikemukakan kepada ibu pejabat SPR melalui talian 03 88927141 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau melayari laman web www.spr.gov.my.
Bernama
No comments:
Post a Comment