Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat dua hari lepas telah pun menyatakan persetujuan secara dasarnya untuk menerima cadangan Anwar Ibrahim yang menamakan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail yang jugalah adalah Presiden PKR sebagai calon yang akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim.
Persetujuan itu menyusul sehari selepas PKR secara rasminya mencalonkan isteri Ketua Umum (KETUM) PKR itu sebagai MB Selangor yang baru bagi menggantikan Khalid dan kedua-dua keputusan itu boleh dikira sebagai asakan yang paling hebat yang disusun sedemikian rupa semata-mata untuk merealisasikan pertukaran jawatan tersebut.
Bagi Anwar dua keputusan penting itu sudah dianggap kejayaan dan kelegaan besar baginya kerana ia menunjukkan tiada lagi jalan berliku untuk menyegerakan proses penyingkiran Khalid. Segala-galanya dilihat semakin lurus dan akan menjadi realiti selepas perayaan Aidilfitri 2014.
Bagaimana pun keputusan Majlis Pimpinan PR yang diumumkan sendiri oleh KETUM PKR itu hanyalah persetujuan secara umum sahaja yang belum lagi muktamad kerana DAP dan PAS masih perlu membawa isu pertukaran MB Selangor ke peringkat tertinggi parti masing-masing sebelum mengambil kata putus mengenainya.
Namun jika segalanya berjalan lancar di mana DAP dan PAS sepakat mengikut kehendak Anwar, ini bermakna hayat politik Khalid sudah hampir sampai ke penghujung dan hanya tunggu masa untuk terbalik dari kedudukannya sekarang. Dengan demikian harapannya untuk mengekalkan kedudukan MB sehingga akhir penggal hampir pasti sekadar impian yang takkan kesampaian.
Andainya itu yang berlaku maka bolehlah disimpulkan bahawa Aidilfitri 2014 ini akan Khalid raikan dalam keadaan penuh suram dan kedukaan kerana Aidilfitri ini adalah yang terakhir baginya selaku seorang MB Selangor. Dan Anwar pula akan tersengih gembira meraikan kejayaannya menobatkan isteri sendiri sebagai MB selepas berbulan-bulan dihantui kegagalan.
Tapi perkembangan terkini nampaknya seperti tidak mengikut skrip yang Anwar bayangkan apabila kedua-dua keputusan PKR dan Majlis Pimpinan PR itu tidak sedikit pun menggugat pendirian Khalid yang masih berkeras untuk tidak melepaskan jawatan. Sebaliknya Khalid menasihatkan pula Anwar dan sekutunya supaya mengikut saluran yang betul sebelum berangan untuk menendangnya dari kedudukan sekarang.
Anwar tentu tidak menjangkakan seorang korporat yang masih mentah dalam politik dan dia sendiri pernah nobatkan Khalid sebagai MB Selangor yang terbaik rupa-rupanya begitu sukar sekali untuk diterbalikkan. Kedudukan sebagai Pengerusi PKR Negeri dah ditarik malah jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor pun sudah hilang tapi masih juga Khalid bertahan.
Kedegilan yang dipamerkan Khalid tentunya menghangatkan lagi kemarahan Anwar kerana selama ini jarang ada pemimpin PKR yang berani melawan kehendak atau arahan KETUM PKR. Anwar yang dikenali umum, sikapnya cukup pantang bila ada yang menentang kemahuannya, apa sahaja kehendaknya wajib dipatuhi kerana dia sudah terbiasa merasakan dirinya lahir untuk mengarah dan memerintah.
Tambah mencelarukan perancangan Anwar bila mana semalam tiba-tiba sahaja Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid untuk kekal sebagai MB Selangor. Lagi berliku jalan penyelesaian untuk Anwar menamatkan kemelut MB Selangor dan lebih parah lagi Sultan Selangor sendiri lebih selesa Khalid kekal sebagai MB berbanding isteri Anwar yang diimport dari Penang.
Tampaknya dalam keadaan sekarang ini kemelut perebutan jawatan MB Selangor akan semakin berliku dan makin jauh dari mencapai penyelesaian. Lebih lama ia berlanjutan kesannya akan menjejaskan sokongan rakyat Selangor terhadap PKR dan PR dan lebih parah lagi jika silap percaturannya boleh jadi hubungan PKR dengan PAS pula yang berantakan.
Berdasarkan senario terbaru ini jelaslah Khalid masih berpeluang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri 2014 dengan hati tenteram dan tidur malam dengan lena kerana ura-ura untuk menggulingkannya selepas perayaan ini masih jauh dari menjadi kenyataan, sebaliknya Anwar pula akan lebih banyak mengigau dan terjaga kebingungan di waktu malam.
Petikan MYKMU.NET
No comments:
Post a Comment