ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TIGA SEKELUARGA MAUT DALAM KEMALANGAN

Saturday, 7 June 2014

TIGA SEKELUARGA MAUT DALAM KEMALANGAN



TANAH MERAH - Tiga sekeluarga termasuk bayi berusia 10 bulan dan ibunya yang hamil tujuh bulan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 54.5, Jalan Kota Bharu-Machang Gerik, dekat sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 5 petang, pemandu kereta Proton Wira terbabit, Yuzairie Mohd Yusof, 30, dan anaknya, Yus Ammar Zafril, 10 bulan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri Yuzairie, Hafiza Ab Halim, 32, mati di Hospital Tanah Merah.

Tiga lagi penumpang kereta itu, Yus Izham Hakimi, 5, Yus Azmira Najwa, 9, dan emak saudara mangsa, Rogayah Makhtar, 55, bagaimana pun hanya cedera.

Sepupu Yuzairie, Surian Mohd Ghazali, 35, berkata, sepupunya itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gelang, Pasir Puteh selepas menghadiri kenduri kesyukuran adiknya, Yus Azaliezie, 23, di Kampung Legeh, Ayer Lanas, dekat Jeli.

“Kami datang lima buah kereta tetapi dia (Yuszairie) balik dulu manakala saya pergi ke Pasir Mas. Saya dapat tahu mengenai kejadian ketika dalam perjalanan balik dari Pasir Mas,” katanya, semalam.

Yus Azaliezie pula berkata, dia tidak menyangka perubahan abang sulungnya itu daripada seorang yang peramah kepada pendiam menjadi petanda kejadian buruk akan menimpanya.

“Dia tak bercakap apa-apa, malah tak masuk dalam rumah dan hanya datang makan sahaja. Sebelum ini dia rapat dengan saya dan suka bercakap bila kami berjumpa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Asisten Superintendan Mohd Fadzir Manap mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kereta dinaiki mangsa memasuki lorong kanan jalan sebelum bertembung di bahagian sisi kanan sebuah Proton Waja dan bahagian hadapan pacuan empat roda Toyota Fortuner.

“Kejadian menyebabkan pemandu Proton Wira dan seorang bayi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang yang hamil tujuh bulan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tanah Merah.

“Bayi dalam kandungan juga disahkan meninggal dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment