GEORGE TOWN: Pendakwaan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang sepatutnya dilakukan hari ini di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Rayer, berkata pihaknya menerima notis tentang penangguhan itu daripada Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Penasihat Undang-undang Pulau Pinang Datuk Razali Che Ani pagi ini.
"Kami tidak pasti apa yang berlaku dan perkara ini jarang berlaku, pihak kami akan mendapatkan penjelasan daripada Peguam Negera mengenainya," katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah di sini.
Semalam Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata Rayer, 43, yang juga seorang peguam, akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 berikutan terdapat 14 laporan polis berhubung kenyataan wakil rakyat berkenaan. {Artikel Berkaitan}
Adun daripada DAP itu sebelum ini mencetuskan kemarahan anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan Melayu selepas mengeluarkan perkataan 'Umno celaka' pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, 20 Mei lepas.
Rayer bukan sahaja enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataan itu malah mengulanginya dalam ceramah terbuka DAP ketika berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.
Selain Gobind Singh, Ramkarpal Singh dan S.Raveentharan juga mewakili Rayer.
No comments:
Post a Comment