Kuala Lumpur: “Kami berselisih faham mengenai bekas isterinya, tetapi tidak sangka dia akan lari,” kata Norazlina Mohd Yunus, 48, mengenai kehilangan suaminya, Zulkifli Abu, 45.
Menurutnya, suaminya menghilangkan diri selepas keluar rumah sehelai sepinggang kira-kira jam 3 pagi, 4 Oktober lalu, dan sehingga kini masih gagal dikesan.
Norazlina berkata, sebelum suaminya disedari keluar rumah, mereka ada berselisih faham, namun sudah menyelesaikan perkara itu dengan cara baik menyebabkan dia kini bingung dengan tindakan suaminya itu.
“Ini kali kedua suami menghilangkan diri. Pada September tahun lalu, kami pernah berselisih faham dan suami hilang hampir tiga bulan.
“Ketika itu, suami memberitahu dia mengikut rakannya bekerja sebagai buruh di Tasik Banding, Perak. Saya sudah menghubungi beberapa rakan dan keluarganya di Kedah, namun masih gagal mengesan,” katanya ketika membuat aduan di Balai Berita, di sini, semalam.
Zulkifli pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Thailand dan dikurniakan empat anak sebelum berpisah dan berkahwin dengan Norazlina lebih setahun lalu.
Katanya, sejak ketiadaan suami, dia terpaksa membantu rakan berniaga di sebuah gerai di Pelabuhan Klang bagi menampung kehidupannya bersama anak lelaki berusia 14 tahun hasil perkongsian hidup dengan bekas suami.
Berikutan suaminya menghilangkan diri, Norazlina membuat laporan di Balai Polis Pelabuhan Klang, 16 Oktober lalu.
Norazlina meminta bantuan orang ramai yang ada maklumat supaya menghubunginya di talian 017-2134950 atau Tam (016-9491514).
No comments:
Post a Comment