ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BENARKAH KOD ETIKA PEMILIHAN UMNO MENGUNTUNGKAN GOLONGAN TERTENTU ???

Sunday, 6 October 2013

BENARKAH KOD ETIKA PEMILIHAN UMNO MENGUNTUNGKAN GOLONGAN TERTENTU ???


PEMILIHAN  Umno kali ini bukan saja menyaksikan perubahan dari segi penyertaan mereka yang diberi hak memilih tetapi juga beberapa peraturan baru berkaitan pertandingan turut diperkenalkan.

Antara yang menjadi perbahasan hangat ialah mengenai peraturan kempen dan ruang untuk berjumpa dengan perwakilan.

Tidak seperti sebelum ini, dalam pemilihan kali ini mereka yang bertanding di peringkat pusat hanya dibenarkan berjumpa dengan perwakilan dalam program yang akan diaturkan oleh Badan Perhubungan Negeri saja.
Menurut laporan, majlis seumpama itu akan disusun selepas 7 Oktober depan iaitu selepas senarai calon-calon yang disahkan bertanding dikeluarkan.

Semua calon khabarnya akan diberitahu tarikh dan masa majlis-majlis yang akan diiadakan itu dan hanya disitulah mereka boleh berjumpa dan beramah mesra dengan perwakilan dari setiap negeri.
Kempen secara persendirian atau menemui perwakilan secara sembunyi-sembunyi tidak lagi dibenarkan dan jika didapati berbuat demikian, boleh dibatalkan penyertaan calon yang berbuat demikian.

Timbul persoalan, dengan jumlah perwakilan seluruh Malaysia mencecah 150 ribu dan di setiap negeri pula angkanya juga melibatkan belasan ribu orang, bagaimanakah calon-calon yang bertanding dapat memperkenalkan diri masing-masing dan menambat hati perwakilan?

Jika dalam setiap majlis itu diminta semua calon berucap dan memperkenalkan diri, di mana dilaporkan seramai 260 calon bertanding di peringkat MT, Wanita, Pemuda dan Puteri, majlis memperkenalkan calon itu barangkali perlu memakan masa yang panjang dan membosankan para perwakilan.

Kalau pun majlis itu diasingkan antara MT, Wanita, Pemuda dan Puteri dan diadakan pula mengikut zon atau daerah, jumlah calon yang perlu hadir dan memperkenalkan diri ialah antara 60 hingga 70 orang.
Dengan ini, majlis itu tetap memerlukan tempoh masa yang lama jika semua calon diminta berucap dan memperkenalkan diri.

Tetapi sekiranya majlis itu sekadar majlis keramaian yang disertai dengan makan-makan misalnya dan semua calon mempunyai kebebasan memperkenalkan diri dan menemui perwakilan, keberkesanannya pula yang menjadi pertikaian.

Cukupkah dalam majlis seumpama itu untuk seseorang calon memperkenalkan diri, menerangkan visi perjuangan dan sebagainya kepada para perwakilan dan berapa berapa ramai pula perwakilan yang boleh ditemui?

Walaupun mungkin Umno melaksanakan kod etika itu dengan niat yang baik tetapi persoalan-persoalan ini dilihat mengekang calon-calon, terutama muka baru, calon pertama kali bertanding dan calon yang tiada jawatan dalam kerajaan seperti menteri atau timbalan menteri.

Sebab itu, apabila calon Naib Presiden Umno, Mukhriz Mahathir meminta kelonggaran diberi untuk menemui perwakilan, ia sebenarnya wajar dipertimbangkan demi keadilan kepada semua pihak.

Bagi yang ada jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri, kod etika kempen ini mungkin tidak banyak mendatangkan masalah kepada mereka.
Mereka juga tidak mengharapkan sangat wadah kempen yang diatur itu untuk memperkenalkan diri. Liputan media melalui akhbar dan tv juga memihak kepada mereka atas dasar jawatan yang disandang dalam kerajaan itu.

Meskipun sekarang ini, dilaporkan bahawa kempen hanya boleh bermula selepas 7 Oktober melalui majlis yang akan diatur oleh Badan Perhubungan Negeri, tetapi mereka yang berjawatan dalam kerajaan sudah pun memulakan kempen masing-masing melalui program kementerian yang diatur di beberapa negeri.

Ada menteri yang mengadakan karnival, ada yang mula mengatur program bertemu pemimpin masyarakat, melawat agensi di bawah kementerian, program turun padang dan mencipta seribu satu nama program lain yang tujuan dan maksudnya ialah bertemu perwakilan di seluruh negara.

Majlis itu meskipun atas nama dan belanja yang ditanggung oleh kementerian tetapi berdasarkan gambar-gambar yang tersebar, jelas sekali bahawa sebahagian besar yang hadir adalah perwakilan Umno cawangan-cawangan belaka.

Ketika calon-calon lain tidak dibenarkan berkempen dan dikekang dengan pelbagai sekatan, mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri ini bukan saja menyalahgunakan kedudukan dan perbelanjaan kerajaan untuk kepentingan jawatan dalam parti tetapi juga seolah-olah mempunyai lesen besar untuk berkempen sesuka hati.

Selain mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri mulai sibuk mengatur pelbagai program ke seluruh negara, calon yang berjawatan dalam GLC dan agensi kerajaan juga turut berbuat demikian.

Mereka kini berkelilau turun padang ke seluruh negara atas berbagai program yang direka-reka namanya tetapi mauduknya ialah untuk bertemu dan berkempen kepada perwakilan Umno.

Bagi calon yang mempunyai hubungan rapat dengan menteri atau timbalan menteri pula, bolehlah menumpang dengan turun sama ke mana-mana destinasi itu.

Bagi calon yang tiada jawatan dan tiada "godfather", kesukaran memang ternampak nyata. Bukan saja kekurangan ruang untuk berkempen dan memperkenalkan diri, malah tiada juga teduhan yang boleh mereka menumpang.

Di sinilah ternampak ketidakadilannya dan diharap Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Pemantau Pemilihan turut melihat pekara ini secara menyeluruh dan tidak sekadar memberi amaran akan mengambil tindakan kepada calon-calon yang melanggar peraturan tetapi akhirnya yang masuk jerat hanyalah "ikan-ikan bilis" saja sedangkan calon "ikan yu" bebas meredah apa saja halangan yang dicipta itu.

Dengan pelbagai kekangan dan sekatan yang akhirnya ternampak berat sebelah dan hanya menguntungkan satu-satu pihak saja, kod etika pemilihan yang merupakan sebahagian daripada transformasi politik Perdana Menteri, Najib Razak ini ternampak bukannya sedang menuju kemajuan, sebaliknya seperti berundur ke belakang, memberi ketidakadilan kepada sesetengah calon dan menganiaya mereka.

Sudahnya, calon yang tiada jawatan walaupun berpotensi dan mempunyai kelayakan serta kebolehan seperti tidak diberikan "lantai yang sama rata untuk menari" manakala perwakilan seramai 150 ribu yang kononnya melambangkan erti demokrasi sebenar dan inklusifnya Umno pula seolah-olah dilayan seperti kanak-kanak tadika yang sentiasa dipantau pergerakannya dan "tidak boleh itu" dan "tidak boleh ini" akhirnya.

No comments:

Post a Comment