ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: @PDRM AKAN TANGKAP AHLI PPS JIKA TERUSKAN AKTIVITI PERTUBUHAN HARAM ITU - @KBAB51

Friday 29 August 2014

@PDRM AKAN TANGKAP AHLI PPS JIKA TERUSKAN AKTIVITI PERTUBUHAN HARAM ITU - @KBAB51

Polis akan melakukan tangkapan terhadap ahli Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) tajaan DAP di Pulau Pinang jika sekiranya mereka masih melakukan aktiviti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ini berikutan pertubuhan itu telah diklasifikasikan haram oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Kita menasihati agar PPS tidak meneruskan aktiviti mereka dan jika berdegil, tindakan tegas termasuklah menangkap mereka akan diambil,” katanya pada majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mencabar polis untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mempertikaikan PPS.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendesak DAP menjelaskan status sebenar PPS yang dikaitkan dengan berbagai aktiviti parti tersebut.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya memandangkan anggota PPS melakukan kerja-kerja keselamatan dengan lengkap berpakaian seragam sedangkan tidak mendapat kelulusan.

Lebih mengejutkan, tambahnya, PPS yang ditubuhkan di setiap kawasan DUN Pulau Pinang turut diberi peruntukan RM10,000 selain peralatan seperti walkie-talkie, jaket keselamatan (vest), topi dan sebagainya.

“Disebabkan tidak berdaftar dengan ROS, maka PPS ini merupakan pertubuhan haram dan melakukan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Sekiranya kerajaan negeri memberi alasan penubuhannya diluluskan di peringkat DUN, namun PPS ini masih perlu didaftarkan apatah lagi penubuhannya bertujuan menjalankan kerja-kerja keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, PPS yang ditubuhkan kerajaan negeri pada 2011 beberapa kali menerima aduan daripada orang awam yang kurang senang dengan kehadiran mereka yang dilihat mengambil tugas pasukan keselamatan.

Malah, minggu lalu, seorang aktivis yang sering mengkritik kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa dipukul anggota PPS iaitu kejadian kedua membabitkan keganasan oleh anggota PPS selepas seorang jurugambar menerima nasib serupa tahun lalu.

Beliau turut mempersoal bagaimana anggota PPS diberi pentauliahan oleh kerajaan negeri untuk menjalankan kerja-kerja keselamatan sedangkan perkara tersebut hanya diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau turut mendesak kerajaan negeri menjelaskan sama ada latar belakang kesemua ahli PPS itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan mereka melakukan tugas-tugas menjaga keselamatan.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa hairan bagaimana anggota PPS itu turut terlibat memasang bendera parti DAP pada pilihan raya sebelum ini.

“Sudah semestinya ini merupakan tindakan salah guna kuasa kerana penubuhan PPS ini sepatutnya tidak ada kena-mengena dengan politik kerana menggunakan peruntukan kerajaan yang datang daripada duit rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Cheng Guan, beliau akan membuat laporan kepada KDN, PDRM dan Jabatan Peguam Negara supaya menyiasat penubuhan PPS tersebut kerana jelas melanggar undang-undang keselamatan negara.-29/8/2014
Agenda Daily


No comments:

Post a Comment