ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS SERAH KEPADA SULTAN SELANGOR TENTUKAN NASIB MB

Monday 25 August 2014

PAS SERAH KEPADA SULTAN SELANGOR TENTUKAN NASIB MB

KUALA LUMPUR: PAS nampaknya masih tidak dapat menyatakan pendirian tentang calon menteri besar Selangor yang disokong apabila sekali lagi menegaskan bahawa parti itu  menyerahkan keputusan berhubung pelantikan menteri besar Selangor yang baharu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas ahli Jawatankuasa PAS pusat mengadakan mesyuarat kali kedua membincangkan perkara tersebut hari ini.


"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersetuju menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam menentukan (memilih individu bagi) jawatan menteri besar Selangor.


"Bila kita buat kenyataan terbuka seperti ini (bermaksud) kita serahkan kepada Tuanku dan Tuanku boleh memilih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat, di sini.


Hadir sama naib presiden parti Sallehuddin Ayub dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Datuk Ir Amiruddin Hamzah.


Dalam sidang media itu, Mustafa juga menyifatkan dua nama calon yang dikemukakan dalam mesyuarat sebelum ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai 'tidak berbangkit'.


Dua calon tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali.


Mengenai surat sokongan berkanun secara hitam putih untuk ditandatangani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor sebagai tanda sokongan terhadap Dr Wan Azizah, beliau berkata ia juga 'tidak berbangkit'.


"Dalam mesyuarat ada sebut, tapi sudah tidak berbangkit lagi.


"Kita tak sebut secara spesifik. Kenyataannya macam ini sahaja," jawabnya ringkas.


Dalam mesyuarat 17 Ogos lalu, PAS sebulat suara bersetuju mengangkat Dr Wan Azizah dan Azmin sebagai calon menteri besar.


Sementara itu Dr Wan Azizah dalam sidang medianya sebelum ini mengumumkan bahawa beliau mendapat sokongan 30 daripada 56 Adun Selangor termasuk dua dari PAS iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).


Khalid pada Isnin mengesahkan akan menghadap Sultan Selangor berhubung kemelut jawatan menteri besar pada petang Selasa.

No comments:

Post a Comment