ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: NIK NAZMI MAHU AMK BERSATU

Saturday 23 August 2014

NIK NAZMI MAHU AMK BERSATU

SHAH ALAM: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad enggan mengulas dakwaan kononnya wujud penipuan dalam pemilihan sayap PKR itu baru-baru ini.
Menyifatkan dakwaan tersebut membabitkan isu teknikal, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu sebaliknya menyeru supaya anggota AMK dari pelbagai kumpulan untuk kembali bersatu.
"Saya tidak akan berikan sebarang komen berkenaan keputusan yang melibatkan teknikal.
"Apa juga keputusan saya terima. Saya boleh terima sama ada mereka (yang menang) dari kumpulan AMK4Malaysia, AMK Baru ataupun Nadi AMK. Mesej saya kepada mereka seperti yang saya nyatakan sebelum ini bahawa musuh kita bukanlah di kalangan ahli parti...tetapi Umno dan Barisan Nasional," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penangguhan Kongres AMK ke-10 di sini.
Nik Nazmi diminta mengulas mengenai tindakan sembilan exco AMK yang baharu bertindak keluar dewan persidangan sejurus selepas beliau diumumkan menang jawatan Ketua AMK.
Kumpulan berkenaan mendakwa tindakan itu sebagai tanda protes terhadap keputusan pemilihan yang tidak memihak kepada seorang lagi calon Ketua AMK, Amirudin Shari.
Dakwa mereka, wujud penipuan dalam pemilihan AMK di Cabang Pensiangan, Sabah yang akhirnya menyaksikan Nik Nazmi menang jawatan Ketua AMK.
Pada pemilihan AMK baru-baru ini Nik Nazmi mengalahkan Amirudin dengan majoriti 250 undi.
Nik Nazmi memperoleh 4,509 undi sementara Amirudin mendapat 4,259 undi.
Terdahulu, Nik Nazmi ketika menyampaikan ucapan penggulungannya berharap semua pihak mengenepikan sentimen berkumpulan yang wujud semasa proses berkempen sempena pemilihan parti.
"Saya menggesa agar kita mengetepikan sentimen fanatik sama ada dari kumpulan AMK4Malaysia, AMK Baru ataupun Nadi AMK kerana pokoknya kita semua anggota AMK.
"Kita semua cintakan Pakatan. Marilah kita menjalinkan wahdatul fikrah berasaskan idealisme keadilan melangkaui kumpulan-kumpulan kita. Marilah kita rapatkan saf, bekerja sebagai satu keluarga AMK dan PKR," katanya. - mStar

No comments:

Post a Comment