ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BN MAMPU PERTAHAN KERUSI DUN PENGKALAN KUBOR

Sunday 24 August 2014

BN MAMPU PERTAHAN KERUSI DUN PENGKALAN KUBOR


MUAR – Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan, meskipun terpaksa berhadapan cabaran daripada PAS, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata walaupun DUN Pengkalan Kubor adalah kubu kuat parti namun BN tidak boleh ambil mudah, sebaliknya perlu bekerja keras untuk mempertahankan kerusi itu.

“Kita tahu kawasan itu bukan mudah tetapi terbukti kawasan ini memang telah diwakili calon kita. Kita akan mengambil peluang ini untuk jelaskan dasar-dasar perjuangan UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Pagoh, dekat sini hari ini.

Beliau turut memuji keperibadian penyandang kerusi DUN Pengkalan Kubor, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang semasa hayatnya sentiasa berpijak di bumi nyata, bekerja keras dan sering memberi perkhidmatan cemerlang dari segi pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan kepada pengundi tanpa mengira latar belakang mereka.

Allahyarham Noor Zahidi, 57, yang menjadi ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal, meninggal dunia akibat kanser hati pada jam 5.45 pagi, Rabu lepas ketika menjalani rawatan di sebuah hospital di Guangzhou, China.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO, turut membayangkan BN akan menurunkan calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Kubor kali ini.

“Kita sudah kenal pasti ramai tokoh muda berwibawa yang boleh diketengahkan. Saya harap ini dapat diputuskan dalam tempoh bila tarikh pengumuman calon itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” kata Muhyiddin.

Ketika ditanya sama ada kemelut yang menyelubungi pakatan pembangkang bakal memberikan kelebihan kepada BN, beliau berkata pengundi sentiasa peka mengenai isu seperti ini.

“Semuanya akan menjadi pertimbangan buat pengundi seperti juga contoh kemelut krisis politik di negeri Selangor…pertembungan dan perbezaan pendapat yang agak ketara antara komponen pakatan pembangkang, baik PAS, DAP dan PKR,” kata Muhyiddin.

BN, katanya, boleh mengambil iktibar daripadanya untuk memberi penjelasan kepada pengundi tentang apa yang berlaku, sekali gus menerangkan kepada pengundi bagaimana BN berjuang untuk rakyat dan menguruskan hal negara.

Kira-kira 20,000 orang hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri kali ini. Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment