ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU KALIMAH ALLAH : HERALD AKAN BUAT RAYUAN DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN !!!

Wednesday 23 October 2013

ISU KALIMAH ALLAH : HERALD AKAN BUAT RAYUAN DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN !!!


Penerbit akhbar Katolik, The Herald tidak akan berputus asa dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah "Allah" dalam edisi bahasa Malaysia untuk penduduk di Sabah dan Sarawak, walaupun Mahkamah Rayuan pada Isnin memutuskan sebaliknya, demikian kata pengarangnya, Paderi Lawrence Andrew.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan tersebut diumumkan, The Herald katanya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pula selepas ini. Andrew berkata, hak penganut agama Kristian di Malaysia wajar dilindungi di bawah undang-undang negara.

"Apa yang ingin saya katakan ialah, hak kami sebagai penganut agama minoriti di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan kami secara bebas mestilah dipelihara ," ujarnya lagi.

Beliau tidak bersetuju dengan hujah bahawa penggunaan kalimah "Allah" bukanlah sebahagian daripada amalan dan kepercayaan penganut agama Kristian.

"Di Timur Tengah dan di Indonesia, kalimah Allah digunakan oleh penganut agama Kristian dan Islam. Jadi anda tidak boleh dengan tiba-tiba mengatakan yang ia bukan sebahagian daripada amalan kami.

"Sesuatu bahasa itu adalah milik sesiapa sahaja untuk menggunakannya dan ia haruslah dibenarkan untuk berhujah menggunakan istilah mengikut fahaman penganut agama itu,” katanya.



Malah kata Andrew, sejarah menunjukkan kalimah Allah telah digunakan di Melaka sejak sekian lama iaitu jauh lebih awal daripada naskhah Al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

"Kami penganut agama Kristian di sini telah menggunakan kalimah Allah seawal 500 tahun dahulu, tetapi masyarakat pelbilang kaum telah hidup dalam suasana harmoni dan aman damai tanpa sebarang masalah.

“Dan kami telah menerbitkan The Herald sejak 19 tahun yang lalu tanpa menimbulkan sebarang masalah kepada penganut agama lain," jelas Andrew.

Mahkamah Rayuan pada pagi Isnin telah memutuskan yang Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya - The Herald. Keputusan itu dibuat oleh tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Panel tiga hakim itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Mahkamah berkenaan mendapati bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya untuk melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah. Mahkamah tersebut juga mendapati, ketetapan Kementerian Dalam Negeri melarang The Heralddaripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.

"Ia merupakan dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama "Allah" bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian," kata Hakim Apandi yang membaca ringkasan keputusan itu.

Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.

No comments:

Post a Comment