ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UPDATE !!! LELAKI PUKUL ISTERI DALAM LIFT SERAH DIRI.

Thursday 15 August 2013

UPDATE !!! LELAKI PUKUL ISTERI DALAM LIFT SERAH DIRI.


Update : 
Seorang lelaki yang membelasah isterinya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu menyerah diri di Balai Polis Kuantan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, lelaki terbabit datang sendiri untuk menyerah diri di balai tersebut pada pukul 3.30 petang tadi.


"Suspek tersebut kini ditahan di Balai Polis Kuantan dan akan dipindahkan ke Pulau Pinang berikutan kejadian tersebut berlaku di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Penjawat awam belasah isteri boleh dikenakan tindakan tatatertib: KSN

SEPANG: Penjawat awam yang dilapor membelasah isterinya dalam lif seperti yang tersebar di laman web sosial akan dikenakan tindakan tatatertib jika terbukti bersalah, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

"Selepas polis membuat siasatan, kami akan ambil tindakan sewajarnya. Jika terbukti bersalah akan melalui hukuman yang dikenakan melalui mahkamah."


"Seterusnya tindakan mengikut peraturan yang sedia ada dalam perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Ketua Setiausaha Negara bersama masyarakat Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Sungai Melut di sini hari ini. 


Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebar secara meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali dalam sebuah lif hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 
Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun. - BERNAMA

Wanita dibelasah suami diberi perlindungan sementara - Rohani

PUTRAJAYA: Wanita yang dibelasah suaminya dalam satu insiden di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kini diberi perlindungan sementara serta menjalani sesi kaunseling, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim. 

Beliau berkata wanita berusia 36 tahun itu serta dua anaknya yang berusia empat dan lima tahun juga akan ditempatkan di lokasi yang selamat sehingga polis selesai menjalankan siasatan.

"Perintah perlindungan sementara itu dikeluarkan oleh mahkamah hari ini dan kementerian akan bekerjasama dengan polis dalam membantu menyelesaikan kes berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Kejadian wanita itu dibelasah suaminya di hadapan dua anak mereka dirakam menerusi kamera litar tertutup dan rakaman itu kemudian disebar luas menerusi Facebook dan YouTube. Kejadian dipercayai berlaku di dalam lif sebuah hospital swasta. 

Rohani berkata kementerian memandang serius insiden seumpama itu dan berterima kasih kerana masih ada pihak yang prihatin dengan kejadian sedemikian. 

"Kita berharap lebih ramai yang prihatin dan menyalurkan maklumat untuk memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kes-kes membabitkan keganasan rumah tangga," katanya. 
Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, pada tahun lepas sebanyak 565 kes membabitkan keganasan rumah tangga dilaporkan, manakala sehingga Mac tahun ini sebanyak 177 kes. 

Sehubungan itu, bagi memastikan tempat wanita dalam masyarakat terus dibela, Rohani berkata sempena sambutan Hari Wanita tahun ini, kementeriannya memutuskan tema 'Respek Wanita, Masyarakat Sejahtera.' - BERNAMA

No comments:

Post a Comment