ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Thursday, 30 October 2014

TANGKAP HAIWAN ANEH DI PADANG PASIR

Haiwan aneh di padang pasir

Jeddah – Seorang lelaki Saudi menangkap seekor haiwan menyerupai anjing di padang pasir dan berkata, tidak seorang pun dapat mengenal pasti jenis binatang itu.

Mutammam Al Rabei memberitahu akhbar Sabq, dia memandu melintasi padang pasir itu di Jeddah apabila melihat binatang berkenaan berlari di depan keretanya.

“Saya menangkapnya hidup-hidup. Kepalanya seperti anjing tetapi binatang itu lebih kecil dan mudah takut.

“Saya bertanya penduduk di kawasan itu, tetapi tidak seorang pun pernah menemuinya. Agak ganjil dan ini kali pertama saya menemui binatang seperti ini,” katanya.- Agensi

VIDEO PENGASUH WANITA INDON PAKSA BAYI MAKAN...MEMANG KEJAM !!! SEBARKAN !!! @PDRMsia


Satu lagi kes penderaan kanak-kanak. Perbuatan seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang menyuap makanan secara paksa ke dalam mulut seorang bayi tanpa belas kasihan.
Biarpun, bayi itu menangis kerana makanan sudah penuh di dalam mulutnya, dia tetap terus menyuapkan makanan tanpa henti dengan harapan agar bayi itu menelannya segera.
Orang ramai di internet diharapkan dapat menyebarkan video ini agar kes ini dapat disiasat segera dan si pelakunya di bawa ke muka pengadilan kerana perbuatan kejamnya yang tidak berhati perut menyeksa bayi itu.

HARI KE-3 KES LIWAT II : KEADAAN SEKITAR ISTANA KEHAKIMAN LENGANG PAGI INI


PUTRAJAYA: Pekarangan kompleks Istana Kehakiman, di sini lengang pada hari ketiga rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesalahan liwat yang didengar di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Setakat jam 9.30 pagi tadi mendapati, hanya petugas media dan kira-kira 50 penyokong Anwar berkumpul di luar pekarangan bangunan menempatkan Mahkamah Persekutuan itu.

Perkembangan terbaru yang menyedihkan ini sudah pasti mengusarkan pihak Anwar Ibrahim. Tetapi ianya juga memberi isyarat bahawa rakyat sudah muak dengan politiking Anwar Ibrahim. 

Dan rakyat sudah sedar bahawa kes liwat ini adalah isu peribadi Anwar Ibrahim seorang dan tidak melibatkan kepentingan rakyat.

Anggota polis dan RELA bagaimanapun meneruskan kawalan ketat dengan menempatkan anggotanya di sekitar kompleks Istana Kehakiman dan menyaring mereka yang masuk ke dalam kawasan mahkamah.

Beberapa jalan turut ditutup di sekitar Putrajaya untuk memberi laluan kepada persiapan penganjuran Festival Kesenian Islam 2014 yang akan berlangsung pada 1 November ini.

Perbadanan Putrajaya juga turut menutup beberapa lokasi di sekitar Istana Kehakiman dipercayai bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

PEKARANGAN kompleks Istana Kehakiman, di sini lengang pada hari ketiga rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesalahan liwat yang didengar di Mahkamah Persekutuan, hari ini.


Dalam pada itu sesi rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya masuk hari ketiga hari ini.

Peguambela Anwar, Ramkarpal Singh menyambung sesi penghujahannya semalam hari ini, pada sebelah pagi, sebelum diteruskan sesi hujah balas daripada pihak pendakwa yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dijangka diadakan di sebelah petang nanti.

Pihak pendakwa dijangka  akan membentangkan hujah bukan saintifik manakala pada pagi hari Jumaat, Muhammad Shafee memerlukan dua jam untuk menyampaikan hujah saintifik berkenaan sampel DNA tersebut.


MARA GANTUNG LAPAN PELAJAR MRSM TERLIBAT KES BULI & PUKUL JUNIOR



KUALA LUMPUR: Lapan pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang yang terbabit dalam kes pukul seorang pelajar tingkatan dua pada 22 Oktober lalu, digantung persekolahan serta merta.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Azmi Mohamad berkata pelajar terlibat juga boleh dikenakan tindakan buang sekolah sekiranya didapati bersalah.

"Perkara ini akan disiasat secara rapi dan terperinci dengan mengambil keterangan semua pihak. Sebarang tindakan akan diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Disiplin MRSM," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Isnin lepas, polis menahan lapan pelajar terbabit di sekolah itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dengan diiringi guru mereka bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Azmi berkata, MARA bagaimanapun masih belum mendapat sebarang laporan rasmi daripada doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang di mana pelajar yang dicederakan itu telah mendapat rawatan bagi mengesahkan dakwaan beliau patah tulang rusuk akibat dipukul.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut meluluskan perpindahan mangsa ke MRSM Kuala Kubu Baharu, Selangor bermula Rabu.

"MARA berharap dengan perpindahan ini, dapat mengelak sebarang trauma selain diberikan khidmat kaunseling sekiranya diperlukan," kata Azmi.

Sebelum ini, media melaporkan insiden itu bermula apabila mangsa dituduh mengambil telefon Samsung Note 3 milik seorang daripada lapan pelajar terbabit.

Dalam kejadian antara 11.45 malam dan 1 pagi itu, mangsa turut dicederakan menggunakan seterika panas di kedua-dua bahu selain tubuhnya dipijak kumpulan pelajar tersebut.

Akibat kecederaan itu, ibu bapa pelajar yang berasal dari Klang, Selangor, telah membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk mendapat rawatan.

IBU KECEWA ANAKNYA MANGSA BULI DIGANTUNG SEKOLAH


KULIM: Ibu kepada seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di sini yang dikatakan dibuli sekumpulan pelajar sekolah itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak sekolah yang tidak mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit tetapi menggantung persekolahan anaknya.

Yuszaidah Yusuf, 41, berkata anaknya Mohd Afiq Afifuddin Mohd Tajuddin, 17, pelajar Tingkatan Lima sekolah itu, diserang dan dicederakan sekumpulan pelajar ketika dia berada dalam sebuah bilik air di sekolah tersebut pukul 10.45 pagi pada 8 Okt lepas.

Katanya apa yang menyebabkan dia keliru adalah apabila anaknya yang bengkak di muka dan bahagian mata kiri serta lebam di belakang badan pula dihukum pihak sekolah kerana dikatakan punca masalah dan dihukum gantung pengajian seminggu.

Katanya dia dan suaminya dimaklumkan seorang guru sekolah tersebut yang anak sulungnya itu dirawat di Bilik Kecemasan, Hospital Kulim pada hari kejadian dan dimaklumkan guru berkenaan bahawa anaknya itu terjatuh dalam bilik air.

"Melihat keadaan lebam di mata kiri, muka dan belakang anak saya itu menguatkan syak saya bahawa anak saya ini bukanlah jatuh tetapi sebenarnya perkara lain yang berlaku terhadap dirinya. Kemudian dia mengaku dikasari sekumpulan pelajar lain ketika dia berada dalam bilik air sekolah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Kulim Techno City (KTC) di sini, Rabu.

Katanya memandangkan kesan-kesan bengkak di mata dan muka serta belakang anak lelakinya itu agak serius, dia dan suaminya Mohd Tajuddin Mohd Taib, 45, memutuskan untuk bertemu doktor di Bahagian Kecemasan Hospital Kulim.

Mereka kemudian mendapatkan rawatan sekali lagi di wad kecemasan sebelum membuat laporan polis.

Katanya memandangkan di Hospital Kulim tiada pakar mata, mereka mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan anak mereka dimasukkan ke wad pada 12 hingga 16 Okt.

"Seperkara yang malang setelah balik ke Kulim pada 16 Okt lalu kami dimaklumkan melalui telefon bahawa anak saya digantung belajar dari 16 Okt sehingga 22 Okt dan agak memeranjatkan kami. Setelah mendapatkan rawatan susulan di Alor Setar, anak saya itu mendapat cuti sakit sehingga 2 Nov," katanya.

Keluarga berkenaan memohon Kementerian Pendidikan supaya memberi pertimbangan lebih wajar berhubung masa depan anak mereka yang cedera akibat dibuli tetapi dikenakan tindakan tatatertib.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim Abdul Aziz Muhammad ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes tersebut.

KEDAI MAKAN TENGAH SAWAH JADI PUSAT HIBURAN

Berjoget
Pendang – Jika dari luar, kedai makan ini dilihat tenang di tengah sawah, namun siapa sangka pada malamnya ia dijadikan tempat hiburan.
Tidak punya papan tanda, kawasan kedai makan itu kelihatan meriah dengan pengunjung yang kononnya datang untuk menjamu selera dan itu antara helah yang digunakan pengusaha untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Tinjauan Sinar Harian pada jam 12.30 tengah malam mendapati, kedai tersebut menyajikan tarian mengghairahkan dan minuman keras kepada pengunjung beragama Islam.
Sinar Harian sempat menemu bual seorang pengunjung dalam lingkungan 50 tahun, hanya ingin dikenali sebagai Mat.
Atas sebab keselamatan, dia tidak mahu identitinya didedahkan dan enggan gambarnya dirakam.
“Kebiasaannya, kedai ini akan ramai pada malam Jumaat, pengunjung yang datang akan dilayan oleh pelayan kedai tersebut dengan berpakaian seksi.
“Setiap layanan yang diberikan, mereka akan menerima tip sebanyak RM30,” katanya.
Jadi tempat lepak
Katanya, selain minuman keras, kedai makan ini juga menyajikan air berkarbonat dengan harga RM7 sebotol.
“Harga yang dijual memang mahal, kalau ikutkan memang Mat tidak mahu datang sini, mahal sangat, tapi sebab bosan, Mat datang la sini.
“Mat selalu datang kedai ini dengan kawan pada jam 11.30 malam, lepas habis kerja. Sinilah tempat kami lepak,” katanya.
Mat berkata, pelayan perempuan dalam kedai tersebut berumur lingkungan 27 hingga 40 tahun.
“Biasanya, mereka akan menggoda dengan aksi mengghairahkan,” katanya.
Suami abai tanggungjawab
“Perangai suami saya berubah sejak berkunjung ke situ, setiap kali dapat gaji dia akan ke kedai makan tersebut untuk berjoli dengan perempuan seksi.”
Itu keluhan seorang wanita mendakwa suaminya kerap berkunjung ke kedai makan yang menyediakan khidmat pelayan.
Wanita berkenaan menceritakan keadaannya kepada Sinar Harian selepas tidak sabar dengan kerenah suami yang sering mabuk dan berfoya-foya dengan pelayan kedai terbabit.
Ibu kepada anak lima itu berkata, sejak belakangan ini, suaminya kerap mengunjungi kedai berkenaan dan hanya akan pulang awal pagi.
Bukan  setakat itu, katanya, suami yang juga pekerja projek turut mengambil minuman keras yang didakwa boleh diperoleh secara mudah di kedai terbabit.
Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Aminah (bukan nama sebenar) berkata, kehidupannya semakin tertekan apabila sering dipukul suaminya.
“Setiap kali saya minta duit untuk beli barangan dapur dan belanja sekolah anak-anak, suami akan naik angin dan menengking dengan kata-kata kesat.
“Sejak berkunjung ke situ, dia jadi seorang pemabuk dan lupa tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.
Katanya, dia hanya mampu berdoa semoga ALLAH SWT memberi hidayah kepada suaminya.
Polis tumpas premis
Bertindak atas aduan, polis Kedah menyerbu pusat hiburan yang menawarkan minuman keras bersembunyi di sebalik kedai makan di sempadan Pokok Sena – Pendang jam 1.15 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, semakan mendapati, penjaga premis gagal mengemukakan lesen hiburan di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997.
“Polis turut menahan seorang penjaga dan seorang  pelayan wanita berumur 27 tahun yang terbabit.
“Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut.
“Seramai 14 pengunjung turut disiasat melibatkan 12 lelaki Melayu dan dua wanita Melayu. Semakan dibuat mendapati, mereka tiada rekod jenayah,” katanya.
Mohd Nashir berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan antaranya dua komputer, dua pembesar suara, satu mikrofon, satu amplifier dan satu unit mixer.- SH

Wednesday, 29 October 2014

KEPUTUSAN MAHKAMAH DIKETAHUI JUMAAT , ESOK HUJAH BALAS PENDAKWAAN


PUTRAJAYA 29 Okt - Sesi rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya masuk hari kedua hari ini.

Prosiding hari ini dimulakan pada jam 9.42 pagi.

Ia dimulakan dengan peguambela Anwar, N. Surendran menyambung dan merumus hujahnya semalam mengenai kewujudan konspirasi tertentu yang digunakan dan menjejaskan kredibiliti hujah dan bukti pihak pendakwa sepanjang proses perbicaraan Anwar.

Selepas Surendran merumuskan hujahnya, tiba giliran peguambela Sangeet Kaur Deo untuk mengemukakan pula hujahannya.

Dalam penghujahannya sekitar 9.50 pagi, Sangeet mengulangi hujahan yang Saiful adalah saksi yang tidak boleh dipercayai dan mempersoalkan cara bagaimana sampel DNA diperolehi.

Sangeet memberitahu panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria mengenai  keraguan kaitan antara DNA dan barang bukti yang digunakan dalam pendakwaan terhadap Anwar.

Barang bukti yang disebutkan itu ialah berus gigi, tuala muka dan botol air.

Antara lain, Sangeet mempertikai kaitan tersebut berdasarkan rekod anggota polis yang mencatat pergerakan Anwar ketika dalam tahanan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan yang diambil daripada anggota polis terbabit, tidak direkodkan secara jelas tentang penggunaan barang bukti tersebut oleh Anwar.

Sangeet memetik keterangan tersebut yang menyatakan bahawa anggota polis itu hanya 'mendengar' Anwar memberus gigi, dan bukannya 'melihat'.

Sangeet juga menekankan tentang kegagalan pihak pendakwa mengaitkan bukti DNA yang diambil dari dubur Mohd Saiful Bukhari dengan DNA yang diambil daripada barang bukti berkenaan.

Sehingga jam 10.50 pagi tadi, penghujahan Sangeet masih berlangsung dan perkara seperti tangkapan tanpa waran dan barang bukti yang diambil secara paksa turut disebutkan.

Sangeet juga membangkitkan berkaitan sampel DNA dari barang kes dan dubur Saiful yang dikatakan sepadan dengan 'Lelaki-Y' sebelum ini.

Mahkamah katanya tidak pernah mengaitkan DNA 'Lelaki-Y' itu dengan Anwar dan ia boleh menjadi milik sesiapa sahaja.

Selepas sesi rehat sebentar pada jam 11.10 pagi, Sangeet  menyambung hujahnya tentang isu waran tangkap pula.

Dia menyifatkan penggunaan waran tangkap asal semasa perbicaraan terhadap Anwar sebagai tidak mengikut saluran undang-undang.

Sehubungan itu, ia membawa kepada penahanan dan pengambilan barang bukti secara salah bagi digunakan dalam mahkamah.

Sangeet turut membentangkan kepada sidang mahkamah mengenai siri dokumen yang tidak diterima pihak pembelaan.

Menghuraikan perkara itu, Sangeet menyatakan bahawa tiada sebab permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan dokumen-dokumen tersebut ditolak.

Ia perlu bagi memastikan keseimbangan perbicaraan yang saksama bagi kedua-dua pihak pendakwa dan pembelaan.

Pada jam 12.20 tengah hari, peguam Ramkarpal Singh meneruskan hujah dengan menekankan aspek saintifik mengenai sampel DNA yang dilabel sebagai 'Lelaki-Y'.

Menurutnya, pihak pendakwa gagal untuk membuktikan bahawa sampel itu ialah Anwar.

Sampel tersebut, kata Ramkarpal, masih tidak diuji sepenuhnya.

Dalam situasi tertentu, selain daripada mengenal pasti dan mengesahkan kod DNA dalam sesebuah pembuktian kes, mahkamah juga perlu mengambil kira pada faktor-faktor persekitaran sebelum membuat sebarang keputusan.

Ramkarpal secara terperinci menghuraikan tentang status sesuatu DNA layak untuk diterima pakai sebagai bahan bukti.

Sidang prosiding rayuan kemudiannya ditangguh untuk rehat tengah hari dan disambung pada jam 2.40 petang.

Peguam dari pasukan pembelaan Anwar, Ramkarpal Singh menyambung hujahnya berkaitan kredibiliti bahan bukti yang digunakan pihak pendakwa dari aspek teknikal dan saintifik.

Antara yang diperjelaskan dalam pembentangannya adalah mengenai cara pengambilan dan pengendalian DNA, keberkesanan ujian DNA, kualiti dan kuantiti, faktor degradasi, serta proses Reaksi Berangkai Polimerase (PCR).

Berkenaan pengambilan sampel pengadu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Ramkarpal berkata bahawa 12 sampel telah diambil daripada Mohd Saiful untuk diuji pakar kimia, Dr Seah Shueu Feng dari Hospital Kuala Lumpur.

Namun, Ramkarpal memberitahu, Shueu Feng tidak dapat mengesahkan kuantiti sampel tersebut dan tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Rekod berkenaan juga tidak diberikan kepada pihak pembelaan.

Persoalan tentang integriti sampel DNA Mohd Saiful semasa ia diambil, ketika ia disimpan dan cara ia dikendali dan diproses turut ditimbulkan.

Hari kedua prosiding rayuan kes liwat membabitkan DSAI berakhir jam 5.35 petang tadi dengan hujah daripada Ramkarpal Singh yang masih belum selesai menyentuh soal teknikal dan saintifik, terutamanya tentang kredibiliti sampel DNA.

Ketua Hakim, Tun Ariffin Zakaria sempat memintas Ramkarpal dengan bertanyakan tentang panjang penghujahan tersebut lalu memintanya membuat rumusan.

Ramkarpal, yang membawa penghujahan setebal 147 muka, akan menyambung sesi penghujahannya esok pada sebelah pagi sebelum diteruskan sesi hujah balas daripada pihak pendakwa yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Begitupun, Muhammad Shafee memohon supaya sesi pembentangan hujahnya dilanjutkan sehingga Jumaat.

Ariffin memberi indikasi membenarkan pelanjutan itu.

Untuk esok, pihak pendakwa akan membentangkan hujah bukan saintifik manakala pada pagi hari Jumaat, Muhammad Shafee memerlukan dua jam untuk menyampaikan hujah saintifik berkenaan sampel DNA tersebut.

Dalam sesi sepanjang hari ini, beberapa kenalan Anwar dan wajah pemimpin Pakatan Rakyat dilihat hadir mengikuti prosiding, antaranya Sasterawan A. Samad Said, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Barisan peguambela Anwar diketuai oleh Datuk Gopal Sri Ram bersama 13 peguam yang lain yang terdiri dari Eric Paulsen, Ramkarpal Singh, N. Surendran, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Rayuan didengar di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penghujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.

Sebelum itu lebih 300 orang penyokong Anwar mula berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman, bagi memberikan sokongan kepada ketua pembangkang itu sejak pagi lagi.

SURAT TERBUKA AYAH MAHASIWA KEPADA @anwaribrahim


Daripada Hj Yusof
Kg Parit I
Tarikh 28 Okt 2014
Kepada :  Khas untuk
Sdra Anwar Ibrahim dan keluarga

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.


Saya sebagai ayah kepada Osman, Pelajar tahun I Jurusan Undang-undang di UM amat kesal di atas situasi di UM malam semalam. Kekesalan dan kesedihan ini  disebabkan anak saya dibabitkan dengan soal peribadi sdra dan keluarga. Ia tidak langsung membabitkan keluarga terutamanya anak saya.

Saya bekerja bertungkus lumus siang malam untuk mencari wang dan nafkah bagi membiayai pelajaran anak saya, agar anak saya menjadi seorang yang terpelajar dan seterusnya merubah kehidupan keluarga petani. Osman adalah anak sulung dari lapan beradik yang turut bersekolah rendah dan menengah.  Jika Osman gagal di dalam pelajarannya, ia tidak akan dapat merubah keluarga ini.

Sdra Anwar, apakah sdra menyelami betapa pahitnya menjadi bapa kepada sebuah keluarga yang miskin.  Anak saya dihantar ke UM bukan untuk terlibat politik sdra tetapi untuk menjadikan keluarga ini lebih terjamin masa hadapan.  Sdra pun tidak pernah memberi bantuan apatah lagi mahu melawat keluarga ini. 

Saya berjanji dan bersumpah tidak akan merelakan perbuatan sdra sampai bila-bila.
T.T
________________________________________________________

*Sedih baca surat dari Haji Yusof. Kalau ada mahasiswa yang tak kenang pengorbanan ibu bapa dan masih fanatik kepada Anwar Ibrahim, tak taulah nak cakap apa.

Itulah isi kandungan tulisan tangan surat tersebut yang katanya ditujukan kepada ketua pembangkang negara yang baru-baru ini mengadakan ceramah 'haram' di UM.  Anwar Ibrahim bersama-sama kuncu-kuncu dan para penyokong tegarnya telah merempuh pagar  UM yang telah dikunci demi memenuhi hasratnya untuk berucap di Dataran Tunku Canselor UM. 

Jika Osman, Pelajar tahun I Jurusan Undang-undang di UM  memang ternyata menyedari asal usulnya dan mencermin dirinya .... Osman seharusnya lebih berpendirian dan bijak dalam tindakannya selaku seorang pelajar yang menjadi harapan tinggi keluarga. Semoga dengan surat ini, Osman akan mempertimbangkan dan berfikir dengan lebih waras tentang hala tuju hidupnya selepas ini......wallahua'lam.



PENGASUH BERHATI BINATANG !!! SANGGUP IKAT TANGAN & KAKI BUDAK 3 TAHUN YANG DIJAGA


KEPALA BATAS: Seorang wanita yang membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh anaknya terkejut apabila mendapati anak lelakinya berusia tiga tahun terbaring di atas lantai dengan tangan dan kaki diikat.

Wanita yang bekerja kilang itu mengambil keputusan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh di Flat Taman Seri Pinang, Sg Puyu, Sg Dua, Butterworth semalam, setelah mendakwa sejak kebelakangan ini anaknya sentiasa dalam keadaan lapar apabila diambil daripada rumah pengasuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kanak-kanak itu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak Jun tahun lepas dan sebelum ini ibu kanak-kanak itu mendakwa tiada sebarang masalah dengan pengasuh berkenaan.

"Menurut ibu kanak-kanak itu, anaknya dihantar ke rumah pengasuh berkenaan pada 5.30 pagi semalam dan kira-kira lima jam kemudian dia pergi ke rumah pengasuh itu untuk melihat keadaan anaknya.

"Dia melihat anaknya dalam keadaan tangan terikat di belakang dan kaki turut diikat terbaring di atas lantai...ketika itu hanya anak pengasuh yang berusia 11 tahun berada di rumah," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Abdul Rahman berkata pemeriksaan lanjut terhadap kanak-kanak itu tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam di badannya.

Sehubungan itu, polis menahan reman wanita berusia 39 tahun itu bagi membantu siasatan dan menurut Abdul Rahman, suspek bertindak demikian kerana mendakwa kanak-kanak berkenaan terlalu nakal.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.







MAT REMPIT "TAWAN STESEN" MINYAK !!!


Setiap hujung minggu sebuah stesen minyak di lebuh raya PLUS, di Serdang, berubah menjadi 'litar mini' apabila puluhan mat rempit berkumpul dan membunyikan enjin secara kuat sehingga mengganggu ketenteraman.

Kehadiran mereka dikesan pada hujung minggu terutama malam Sabtu dan Ahad dan apabila cuti umum, bermula 10 malam sehingga awal pagi.

Seorang bekas mat rempit yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 34, mendedahkan perbuatan membunyikan enjin adalah untuk menjadikan lokasi itu lebih 'panas' dengan menarik perhatian pihak berkuasa.

"Apabila keadaan mula bingit, lebih ramai mat rempit akan berkumpul dan membanjiri stesen minyak berkenaan," katanya.

Dia juga yang pernah 'bermain' di kawasan berkenaan, berkata lokasi itu popular kerana terletak di tepi lebuh raya utama dan mempunyai banyak laluan untuk melarikan diri sekiranya diserbu polis.

"Kadangkala stesen minyak berkenaan dijadikan lokasi permulaan untuk perlumbaan haram di sepanjang lebuh raya dan BESRAYA," jelasnya.

Bukti rakaman aksi `koyak minyak’ oleh mat rempit di dalam stesen minyak itu dikongsi pembaca Harian Metro yang menghantarnya untuk dikongsi.

Dia yang enggan nama didedahkan, berkata apabila begitu ramai mat rempit muncul, beberapa pengguna, terutama pemandu kereta yang hendak mengisi minyak terpaksa melupakan hajat itu.

“Mereka tidak laju tapi bingit mengelilingi beberapa pam minyak,” katanya.

Pengguna, Mohd Zaki Abdul Razak, 30, pula berkata kelibat puluhan mat rempit di stesen minyak berkenaan pada malam minggu menyebabkan dia dan keluarga berasa kurang selesa untuk berhenti mengisi minyak.

"Apabila mereka mula membunyikan enjin dengan kuat, keadaan menjadi bising malah udara juga tidak sihat akibat asap yang dikeluarkan ekzos motosikal," katanya.

Sementara itu Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai aktiviti samseng jalan raya di kawasan itu.

“Kita mengalu-alukan perkongsian maklumat khususnya daripada orang ramai kerana operasi cegah samseng jalan raya memerlukan perancangan rapi untuk mengelakkan mereka melarikan diri ketika serbuan," katanya ketika dihubungi.

Beliau menegaskan pihaknya sentiasa melakukan operasi dan pemantauan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan mat rempit dari semasa ke semasa. Lebih menyedihkan, majoriti yang menjadi mat rempit adalah golongan remaja dengan ada dalam kalangan mereka masih di bangku sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi.

Katanya, statistik terbaru menunjukkan 6 daripada 10 kematian kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dengan lingkungan umur mangsa antara 16 hingga 25 tahun.

"Saya sering tekankan peranan ibu bapa dan keluarga dalam membendung gejala ini. Mereka harus ambil tahu apa aktiviti anak-anak terutama pada malam minggu dan nasihati mereka sekiranya terlibat dalam kegiatan rempit," tegasnya.

Menurutnya, terdapat ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menggunakan motosikal meskipun tidak mempunyai lesen sah.

"Perbuatan itu umpama membunuh anak sendiri di jalan raya. Justeru saya ingatkan kepada ibu bapa agar pantau aktiviti anak-anak. Jangan sesekali benarkan mereka menggunakan motosikal jika tidak mempunyai lesen sah," katanya.
hmetro