SHAH ALAM – Seorang lelaki tergamak menipu isterinya sendiri untuk melakukan jenayah dengan memecah masuk rumah dan mencuri sebelum dicekup polis di Klang, kira-kira jam 1.30 petang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisoner Azisman Alias berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu berpura-pura pergi kerja dengan memakai pakaian kemas.
Menurutnya, tindakan lelaki itu bertujuan untuk mengaburi tindakannya daripada dikesan isterinya.
“Lelaki ini akan berjalan setiap hari di pangsapuri dan kondominium kos rendah untuk mencari sasarannya sebelum memecah masuk menggunakan kunci yang sudah diubahsuai.
“Suspek yang sudah aktif sejak lima tahun lalu akan menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni. Dia yang bergerak secara solo akan mengetuk pintu rumah atau memerhatikan sasarannya beberapa hari sebelum melakukan jenayah,” katanya kepada media, semalam.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya lelaki ini, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah.
Katanya, pihaknya berjaya merampas dua kereta jenis Proton Satria dan Exora selain beberapa barangan lain seperti surat pajak gadai, kad sim, dan kunci kereta bernilai kira-kira RM5,000.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain turut mempunyai dua rekod lampau di bawah kes pecah rumah.
“Suspek akan direman tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment