ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BERITA BAIK KEPADA PENCARUM KWSP !!! DIVIDEN KWSP 2013: 6.35% TERTINGGI DALAM 10 TAHUN

Monday, 17 February 2014

BERITA BAIK KEPADA PENCARUM KWSP !!! DIVIDEN KWSP 2013: 6.35% TERTINGGI DALAM 10 TAHUN



Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengisytiharkan kadar dividen 6.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, tertinggi sejak 10 tahun lalu.

Pada tahun lalu, KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 6.15 peratus.

Pengerusi Lembaga KWSP , Tan Sri Samsudin Osman berkata, pihaknya membuat bayaran RM31.20 bilion kepada ahlinya, peningkatan 13.66 peratus berbanding RM27.45 bilion pada 2012. 

Katanya, penyata akaun KWSP yang dikredit dividen 2013 boleh disemak mulai sekarang secara atas talian melalui i-Akaun di laman web myEPF www.kwsp.gov.my

“Ahli juga boleh mendapatkan penyata akaun mereka dari Kios KWSP atau cawangan KWSP yang berdekatan mulai Isnin (hari ini),” katanya. 

Katanya, maklumat dividen 2013 boleh diperoleh menerusi laman Facebook KWSP, di pejabat KWSP, Twitter KWSPBuzz dan YouTube.

Samsudin berkata, kadar dividen itu diisytiharkan hasil daripada pendapatan pelaburan kasar yang mencatat rekod tertinggi RM35 bilion, meningkat 12.81 peratus daripada RM31.012 bilion yang dicatat pada 2012. 

“Pembayaran dividen 2013 diperoleh selepas ditolak peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen untuk pengeluaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Samsudin berkata, ekuiti muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP pada 2013, menjana RM19.52 bilion pendapatan, peningkatan ketara 40.39 peratus berbanding RM13.90 bilion yang dicatat pada 2012. 

“Portfolio ekuiti KWSP menjana pulangan nyata dua angka, mengatasi prestasi dana lain yang sama,” katanya.

Pelbagaikan portfolio
Beliau berkata, prestasi kukuh dalam portfolio ekuiti disokong oleh indeks domestik dan global yang mencapai paras tertinggi, berikutan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan kekuatan asas ekonomi pasaran domestik selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, dengan jumlah ahli KWSP meningkat kepada lebih 13 juta, sebanyak RM4.91 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2013. 

“Ia adalah 10.06 peratus lebih tinggi berbanding RM4.46 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2012. Jumlah yang diperlukan untuk membayar satu peratus kadar dividen akan terus meningkat antara lapan dan sembilan peratus setahun.

“Di sebalik kelembapan ekonomi global dan ketidaktentuan kewangan, KWSP tetap teguh dan pencapaiannya adalah bukti usaha dan inisiatif berterusan pengurusan KWSP untuk mengekalkan kestabilan kewangan dalam jangka panjang,” katanya.

Samsudin berkata, dengan strategi pelaburan berhemah dan mantap, prestasi KWSP adalah konsisten dan stabil, terutama untuk lima tahun yang lalu.

“Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, KWSP mempelbagaikan portfolio dengan memperluaskan skop aset pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran dan menjana pulangan yang konsisten,” katanya.
BH

No comments:

Post a Comment