DI KALANGAN umat Islam di negara kita masih banyak yang keliru mengenai jenis pakaian yang perlu dipakai sebagai lambang orang beriman. Ada pihak yang mengatakan hanya jenis pakaian tertentu dianggap melambangkan keislaman.
Sedangkan yang lain itu dikaitkan pula sebagai pakaian orang kafir, yakni mengikut apa yang dipakai orang Barat. Sebab itu, ada yang memandang sinis kepada orang berkot dan bertali leher.
Paling jelas, jika pakaian itu dipakai ketika pergi ke masjid. Pada mereka, jika pergi ke masjid mestilah berjubah, berkopiah dan berserban. Paling tidak pun berkain pelekat, berbaju Melayu dan berkopiah. Malah, ada yang membuat andaian berbeza jika berkopiah dengan bersongkok.
Hakikatnya, jubah, kopiah dan serban bukan menjadi ukuran ketakwaan dan kemuliaan peribadi seseorang individu Muslim. Sebaliknya, yang menjadi ukuran adalah penghayatan Islam dan nilai ilmu, dan sejauh mana diamalkan untuk membentuk insan sempurna.
Jubah, kopiah dan serban mudah dibeli dan dipakai oleh sesiapa juga tanpa ada syarat pemakaiannya. Sebaliknya, akhlak mulia dan nilai peribadi seorang tidak boleh dibeli, melainkan diperoleh secara didikan dan amalan berterusan, yang lahir semata-mata mengharapkan keredaan daripada Allah.
Islam begitu menitikberatkan pembinaan sahsiah dan pekerti mulia untuk melahirkan ummah yang berjaya. Unsur ini bersifat dalaman yang lahir hanya jika ada keikhlasan diri untuk melakukannya. Sifat yang baik adalah pakaian Muslim sejati.
Sebaliknya, pakaian luaran tidak semestinya melambangkan apa yang ada dalam diri. Itu hanya pakaian yang boleh bertukar ganti dengan mudah. Watak yang dibuat-buat ketika memakai sesuatu pakaian juga boleh berubah-ubah seperti pelakon yang memegang pelbagai watak.
Namun, pemakai pakaian itu tetap berwatak asal biar apapun yang dipakai. Sebab itu, kita dapat perhatikan orang yang berpakaian yang kononnya lambang keIslaman melakukan perbuatan yang bertentangan kehendak Islam.
Perkara ini dilakukan individu yang suka berpura-pura dengan penampilan diri yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai peribadinya yang sebenar. Perbuatan itu amat ditegah dalam Islam kerana boleh mencemarkan nama baik individu yang memang salih.
Az-Zarkasyi berkata: “Haram bagi mereka yang bukan dari kalangan orang soleh berpakaian seperti orang soleh, jika perbuatan itu boleh memperdaya orang lain dengan menyangka seorang soleh lalu memberinya sesuatu.”
Oleh itu, jangan mudah menilai seseorang berdasarkan pakaian luarannya. Ramai antara kita mudah memberi merit keIslaman atau keimanan seorang berdasarkan pakaian. Jika seorang itu berkopiah atau berserban dan berjubah, maka dia itu orang alim.
Sebenarnya berjubah dan berkopiah atau berserban adalah pakaian tradisi masyarakat Arab yang tiada kaitan dengan tanda keimanan. Ada hadis menyebut bermaksud: ‘Serban itu adalah mahkota orang Arab.’ (Hadis riwayat Ad-Dailami).
Amalan memakai serban dan jubah di kalangan orang Arab bermula sejak sebelum kedatangan Islam, manakala sekarang ini, orang Kristian dan Yahudi di negara Arab juga berjubah dan berserban. Malah, memakai kopiah adalah identiti orang Yahudi di sesetengah tempat.
Isu ini tidak seharusnya dilihat secara begitu ‘simplistik’. Jika kita ingin mendapat kebaikan dan mengelak keburukan, sekecil mana sekalipun isu, perkara ini perlu diperjelaskan kepada umum untuk mengelak ada pihak mengambil kesempatan atas kejahilan orang ramai.
Perkara dikaitkan dengan agama sering kali diguna pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan diri. Taraf orang alim di dalam masyarakat amat tinggi dan dihormati. Jadi, pakaian yang melambangkan alim sering dipakai oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan orang ramai.
Masyarakat kita mudah percaya kepada individu yang berpakaian nampak alim, macam pak haji (mak haji), dan tok guru. Keadaan inilah diambil kesempatan oleh sesetengah individu untuk menipu.
Banyak kes penipuan dilakukan oleh individu yang menjadikan pakaian sebagai cara untuk memperdaya orang ramai. Lelaki berjubah, berkopiah atau berserban, manakala wanita pula memakai telekung labuh.
Banyak orang yang sedang dibicarakan di mahkamah memakai kopiah. Apakah tujuan sebenarnya? Adakah mereka ingin menunjukkan bahawa mereka sebenarnya alim dan tidak melakukan kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya?
Perbuatan itu ada lojiknya. Sebabnya, kebanyakan kita mudah berasa kasihan kepada mereka yang menampilkan pakaian berbentuk orang alim. Tambah lagi apabila menunjukkan wajah memohon simpati.
Kita bukan bermaksud memperkecil-kecilkan mereka yang berjubah, berkopiah atau berserban. Tetapi, apa yang ingin ditekankan di sini ialah jangan mudah percaya kepada seseorang hanya berdasarkan kepada apa yang dipakainya. Sesiapa saja boleh berpakaian menunjukkan watak alim, sedangkan tidak membuktikan apa yang sebenarnya.
Selain itu, perlu dijelaskan di sini, tidak ada di dalam al-Quran atau hadis yang menyebut mengenai reka bentuk dan jenis pakaian dianggap simbol pakaian Islam. Apa yang dijelaskan hanyalah mengenai keperluan menutup aurat, terutama bagi wanita.
Ijmak ulama sepakat mengatakan pakaian orang Islam tidak semestinya kopiah, serban dan jubah. Kita bebas memilih fesyen mana yang dikehendaki. Setiap orang mempunyai cita rasa berlainan.
Dalam hal berkaitan menutup aurat, ada ayat al-Quran yang mengaitkan cara berpakaian menunjukkan kaitan dengan iman dan takwa kerana perbuatan itu secara langsung membuktikan diri seseorang mematuhi perintah Allah.
Pun begitu, tidak dijelaskan fesyen apa yang perlu dipakai oleh orang Islam. Selagi pakaian itu memenuhi konsep menutup aurat, maka itulah yang dibenarkan syariat.
Maksud menutup aurat bukan sekadar menutup bahagian badan, tetapi juga tidak menonjolkan bentuk tubuh, yakni pakaian yang terlalu ketat atau daripada jenis kain tertentu yang menampakkan bentuk tubuh pemakainya.
Wajar kita memakai jubah, serban dan berkopiah dengan niat mengikut sunnah Rasulullah. Perbuatan itu sebahagian tanda kita kasih kepada Rasulullah.
Tetapi, sesiapa memakai jubah, serban dan kopiah dengan niat bermegah dan menunjukkan diri lebih alim, perbuatan itu ditegah dalam Islam yang termasuk dosa.
(Semua umat Islam tahu akan KEWAJIPAN MENUTUP AURAT bagi setiap yang bergelar MUSLIM. Tapi bagi mereka yang ingkar itu adalah urusan & tanggungjawap mereka dengan ALLAH SWT.)
Wallahulam .
No comments:
Post a Comment