ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "AMANAH, KERJANYA MEMPROMOSIKAN DAP" - KETUA PENERANGAN DUPP

Monday, 26 October 2015

"AMANAH, KERJANYA MEMPROMOSIKAN DAP" - KETUA PENERANGAN DUPP


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Parti Amanah Negara (Amanah) telah mempromosikan DAP apabila mengangkat Lim Guan Eng sebagai tokoh dalam misi menawan Putrajaya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, sebagai parti Islam, PAS mempunyai prinsipnya sendiri dari segi pemilihan pemimpin atau ketua negara.

“Pertama saya nampak memang parti serpihan PAS ini menjadi pengikut kepada DAP, kerjanya mempromosi DAP dan memang tidak peliklah apabila saudara Salahuddin pun mempromosi Lim Guan Eng.

“Kita (PAS) dalam kaedah Islam, ada prinsip kita, kekuasaan dan penguasaan mestilah didominasi oleh orang Islam…sebab ia bercanggah dengan Islam, tidak boleh kita jatuhkan seorang pemimpin Islam walaupun dia tidak mengikut Islam sepenuhnya digantikan dengan menteri yang bukan Islam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Isnin.

Katanya, masyarakat harus tahu tentang kaedah ini dan PAS sama sekali tidak akan memainkan isu pemimpin bukan Islam diangkat sebagai tokoh.

“PAS tidak akan memainkan isu ini, jadi inilah yang membezakan kita dengan parti-parti lain.

“Saya tidak merasakan orang Islam akan menyokong (DAP), Melayu tidak akan menyokong DAP kerana DAP dilihat tidak menyokong isu-isu Islam, tidak memberikan sesuatu yang positif.

“Ahli-ahli Parlimen DAP, saya tidak nampak mereka mesra pada Islam,” katanya.

Khairuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa Guan Eng adalah contoh tokoh politik mewakili masyarakat bukan Islam yang mampu menyelamatkan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis bersama pimpinan Pakatan Harapan di Klang, malam Ahad.

Ketika majlis itu, Salahuddin turut mengakui bahawa tidak ada jaminan untuk Amanah bertanding atau menang dalam pilihan raya akan datang tetapi demi perjuangan menyelamatkan negara, mereka sanggup ‘cari susah’ apabila bertindak meninggalkan PAS yang juga berada dalam keadaan susah.

Mengulas kenyataan ini, Khairuddin berkata Amanah bersikap lemah semangat dan ia tidak sepatutnya ditunjukkan oleh seorang ahli politik.

“Jadi saya merasakan bahawa mereka tidak ada sokongan, saya sebutkan di sini contohnya macam PKR yang begitu lama dalam politik pembangkang yang lebih 10 tahun pun tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi, jadi apakan lagi DAP dengan serpihan PAS ini, saya yakin mereka tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengenai sokongan terhadap PAS, beliau berkata pihaknya menerima sambutan hangat daripada orang ramai walaupun beberapa pemimpinnya beralih kepada Amanah.-MS.

No comments:

Post a Comment